Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, Wawasan 2020 merupakan satu destinasi yang menjanjikan kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, agama serta budaya dan seharusnya tumpuan ke arah itu tidak boleh diganggu-gugat.

“Janganlah kita melayani perkara-perkara yang boleh mengalihkan perhatian kita daripada berusaha ke arah mengisi visi tersebut. Hentikanlah segala perbalahan, hentikan menyebar dan mempercayai fitnah, hentikan daripada melakukan kerja-kerja yang tidak bermanfaat.

“Marilah kita bersama-sama dalam satu ikatan yang padu demi menjamin kesejahteraan Malaysia dan menjayakan visi negara kita, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi blognya, www.najibrazak.com, hari ini.

Menjelang 2020, kerajaan menyasarkan pendapatan per kapita rakyat meningkat kepada AS$15,000 (RM63,118) dan bagi tujuan itu, pelbagai program transformasi dilaksanakan antaranya Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

Dalam pada itu, Najib berkata, selaku pemimpin kerajaan dan seorang Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat, beliau serta seluruh barisan kepemimpinan akan memberi sepenuh tumpuan tanpa culas bagi memastikan matlamat Malaysia muncul negara maju mencapai kejayaan.

Sambil mengimbau perjalanan perjuangan UMNO serta Parti Perikatan dalam mendapatkan kemerdekaan kepada negara, beliau berkata, kekuatan yang ada pada Tanah Melayu ketika itu ialah solidariti dan ikatan tersebut akan terus menjadi azimat dalam mencapai Wawasan 2020.

“Dalam hidup kita perlu ada perjuangan. Perjuangan untuk berkhidmat kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Apabila berhasilnya perjuangan, barulah kehidupan kita bermakna,” katanya.(Utusan on line-).Posted by abnmulya // haji abu bakar ningggal.blogspot.com.at 3.40aqm on Diusember 05,2015.