Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, UMNO Kedah sedia untuk menerima apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu kelak.
Sehubungan itu, kata beliau, semua pihak perlu bersabar dan matang berdepan dengan isu berkenaan tanpa melakukan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan parti termasuk berkempen memburukkan sesama sendiri memandangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Saya tegaskan, tiada nama sesiapa pun yang dicalonkan dan kami semua telah berjanji untuk menerima apa juga keputusan dibuat Perdana Menteri. Itu adalah hak prerogatif beliau selaku Perdana Menteri.
“Apa yang penting kita semua perlu sabar menunggu dan jangan buat kenyataan atau tindakan yang boleh merosakkan parti.
“Apatah lagi dalam pertemuan itu Perdana Menteri sudah meminta agar diberikan masa selain berjanji membuat pertimbangan terbaik untuk negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Dalam pertemuan yang dijalankan secara tertutup semalam, lebih 50 pemimpin UMNO negeri menghadirinya dengan Ahmad Bashah diberi ‘mandat’ untuk mewakili mereka bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada Perdana Menteri.
Krisis politik kembali melanda Kedah apabila majoriti UMNO Kedah termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengeluarkan kenyataan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Mengulas tentang pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, kata Ahmad Bashah, ia berlangsung dengan tenang namun tegas dalam menuntut agar perubahan dilakukan dalam parti itu.
“Ketua-ketua bahagian yang bersama saya dalam sidang akhbar sebelum ini juga hadir ke pertemuan tersebut, yang berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan, tenang tetapi serius menuntut perubahan,” katanya.
Ditanya mengenai beberapa exco serta ADUN yang tidak hadir ke pertemuan tersebut, beliau mendakwa kesemua mereka difahamkan mempunyai alasan tertentu untuk tidak menghadirinya.
“Sebagai contoh, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail sibuk dengan urusan perkahwinan anaknya sementara Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Mohd Noor berada di hospital kerana sakit,” katanya.
Sementara itu katanya, beliau tidak ambil pusing mengenai tindakan pihak tertentu yang mula mempertikaikan tahap pengajiannya seperti yang mula tersebar di laman-laman sosial ekoran desas desus mengatakan beliau bakal menerajui pentadbiran negeri.
“Terpulanglah pada mereka hendak bercakap. Namun bab pelantikan ini terletak di tangan Perdana Menteri dan beliau berhak melantik sesiapa yang dirasakan layak. Sama ada saya atau orang lain, itu adalah hak beliau untuk menentukan.
“Bagi kami, perubahan perlu ada kerana kita kini berada dalam keadaan tidak yakin dengan persiapan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14. Sama ada saya atau tidak, saya tidak kisah,” katanya.(Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com .at 8.11 am on January 24,2016.