Berikut adalah kenyataan penuh Mohamed Apandi dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Bahagian Pendakwaan, Datin Paduka Zauyah Be T. Loth dan Ketua Pengarah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Datuk Dzulkifli Ahmad;
Saya telah mengkaji dengan te­liti keseluruhan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen ser­ta maklum balas yang diberikan oleh pihak SPRM berkaitan klarifikasi yang dimohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan ber­kaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang telah dikemukakan kembali kepada saya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
A. RM2.6 Bilion
1.Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah ‘RM2.6 bilion’ yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri), saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan doku­men-dokumen sokongan yang di­ke­mukakan oleh pihak SPRM kepa­da saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah me­rupakan sumbangan peribadi kepada YAB PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.
2.Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumba­ngan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB PM secara peribadi.
3.Saya berpuas hati bahawa tia­da keterangan yang me­nunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah. Ketera­ngan daripada siasatan tidak me­nunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai seorang Per­dana Menteri.
4.Tambahan pula, dalam bulan Ogos tahun 2013, wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh YAB PM kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
5.Berdasarkan keterangan sak­si-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa kesalahan jena­yah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
6.Berhubung perkara ini juga, saya juga berpuas hati bahawa tiada keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan ban­tuan bersama dalam perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jena­yah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
B. SRC INTERNATIONAL
7.Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di atas alasan-alasan berikut:
7.1. Di bawah Akta SPRM 2009
a. Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa YAB PM te­lah menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh syarikat SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP);
b. Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri adalah dibuat secara teratur;
c. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan YAB PM meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa atau selepas keputusan Jemaah Menteri tersebut dibuat; dan
d. Dari keseluruhan keterangan yang melibatkan apa jua keputusan-keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh YAB PM; dan semasa kelulusan Jemaah Menteri.
e. Pihak SPRM sendiri telah mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada ke­terangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM telah melakukan sebarang perbuatan rasuah (corrupt practice).
7.2 Di bawah Kanun Keseksaan
a. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau;
b. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM memberikan apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau; dan
c. Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, YAB PM mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu.
8.Berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, saya sebagai Pendakwa Raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh YAB PM berkait ketiga-tiga kertas siasatan. 

Pada hari ini, kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada pihak SPRM dengan arahan supaya ketiga-tiga kertas siasatan tersebut ditutup. (NFA/KUS) (tiada tindakan lanjut/kemas untuk simpan)../Utuisan opnl;ie.(Posted by abnmulya //hajiabu b akar ninggal.blogspot.com.at 9.22am on January 227,2016.