Thursday, January 28, 2016

TIDAK CABAAR KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA

Penjelasan SPRM isu siasatan dana RM2.6b ditutup 

KAMIL MASLIH : 29 jANUARY 2016 @ 1.42 AM.

PUTRAJAYA 28 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mencabar mahupun mempertikaikan keputusan Peguam Negara yang mengarahkan kes siasatan dana RM2.6 bilion dan SRC International ditutup, tegas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Tan Sri Abu Kassim Mohamed

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pegawai SPRM yang mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa kebenarannya dan bercanggah dengan ketetapan tersebut.

“Sekiranya benar (ada pegawai SPRM bercakap kepada media tanpa kebenaran dan membuat pelbagai dakwaan), saya tidak akan bertoleransi dan tindakan akan diambil.

“Saya telah mengarahkan satu laporan polis dibuat supaya perkara ini dapat disiasat secara bebas. Pegawai SPRM mesti mendukung standard etika yang tinggi dan perlu bertanggungjawab terhadap sumpah mereka dalam memegang jawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan beliau berpuas hati bahawa tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu dana RM2.6 bilion serta SRC International dengan kes-kes tersebut diarahkan tutup.

Menurut Abu Kassim, tindakan SPRM merujuk penutupan kes berkenaan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) adalah merupakan prosedur biasa bagi penutupan mana-mana kes.

“Kuasa Peguam Negara terhadap semua prosiding jenayah adalah diberikan kepadanya berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa ini adalah mutlak dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut, Abu Kassim berkata, kenyataan dari mana-mana pegawai SPRM mengenai isu penutupan kes tersebut tidak menggambarkan pendirian rasmi SPRM kecuali kenyataan daripada Bahagian Komunikasi Strategik SPRM yang mendapat kebenarannya.(Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 8.16 am on January 29,2016.

No comments: