Mohamed Apandi Ali
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, penderma tersebut masih hidup dan beliau merupakan putera kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud namun identitinya tidak boleh didedahkan.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam laporannya mengesahkan agensi itu telah menerima kenyataan daripada penderma terbabit.
“Mengapa orang bertanya tentang sebab derma itu diberi? Anda perlu bertanya kepada pendermanya. Dia ada berbilion-bilion. (Jika) dia mahu memberikan wang, apa masalahnya?
“Ini adalah wang dia dan urusan peribadinya. Kami tidak mempunyai undang-undang untuk menyatakan bahawa menerima sumbangan politik adalah haram,” kata beliau seperti dipetik daripada wawancara eksklusif yang disiarkan Sinchew Daily hari ini.
Sementara itu, Mohamed Apandi memberitahu, pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menutup siasatan berhubung derma RM2.6 bilion itu adalah kurang tepat.
Beliau menjelaskan, segala tindakan yang dilakukannya kini adalah berdasarkan apa yang dipelajari daripada Abu Talib.
“Sekarang beliau kata, saya tidak boleh berbuat demikian. Saya keliru,” ujarnya.
Mohamed Apandi turut menafikan dakwaan kononnya beliau meminta rakan sejawatannya dari Switzerland, Michael Lauber supaya menutup siasatan pihak berkuasa di negara berkenaan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam pertemuan September lalu.
“Saya tidak pernah berkata demikian, itu satu pembohongan. Saya tidak pernah menyebut sebarang kes 1MDB. Ia adalah kunjungan hormat,” jelasnya.
Beliau menambah, pertemuan itu adalah bagi membincangkan kerjasama dari segi perundangan dan pihaknya bersedia memberi bantuan pada bila-bila masa.( Utusan online).Posted  by abnmulya //haji abu b akar ninggal.blogspot.com.at 1323 hrs on February 09,2016.