Monday, March 7, 2016

"Ada Yang Tisdak Mahu Percaya Kebenaran"

March 06,2016.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad,Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC).

MUKADIMAH

UMNO kini kembali diuji dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila bekerjasama dengan pemimpin pembangkang bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur.

Parti terbesar orang Melayu itu pernah menghadapi ujian getir ketika krisis kepimpinan pada 1987 yang membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988, dan sekali lagi pada 1997, melibatkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, dalam kedua-dua senario itu, pihak yang tidak bersetuju bertindak keluar parti.

 Tetapi kali ini, UMNO di bawah pimpinan Najib berhadapan dengan ujian berbeza. Hanya Dr. Mahathir yang keluar parti, tetapi beberapa pemimpin lain yang menentang kepimpinan Najib masih berada dalam parti. UMNO kini perlu berhadapan dengan cabaran parti pembangkang daripada luar dan kem penentang Najib dari dalam UMNO sendiri.

 Sejauh mana krisis kali ini akan memberikan kesan kepada UMNO, ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak begitu lama lagi? Bagi melihat isu ini dengan lebih jelas, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI mewawancara Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD yang merupakan orang lama dalam arena politik tanah air.

 Dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabat BNBBC di bangunan Parlimen pada Khamis lalu, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, yakin ahli-ahli UMNO tidak akan terpengaruh dengan tindakan yang dibuat oleh Mahathir dan Muhyiddin. Menurut beliau, ahli UMNO cukup matang dan jelas bahawa keutamaan mereka sekarang ialah membuat persiapan untuk menghadapi PRU-14. Beliau juga tidak nampak usaha dua bekas pemimpin itu bekerjasama dengan pembangkang untuk mendesak Najib mengundur diri akan berjaya jika menggunakan saluran demokrasi kerana usaha tersebut pernah cuba dilakukan tetapi gagal.

 “Mahathir keluar UMNO sebab dia kata dalam UMNO sendiri dia tidak boleh buat dan tidak boleh berjaya. Sekarang dia berpakat pula dengan pembangkang. Maknanya guna cara dalam Parlimen juga kecuali dia hendak guna cara Arab Spring iaitu demonstrasi jalanan. Itu ada risiko kepada negara kerana apa yang berlaku pada Arab Spring tidak menampakkan kebaikan kepada negara-negara yang terlibat. Mesir umpamanya, sampai sekarang masih bergolak dan tak membawa apa-apa perubahan,” kata beliau.
MINGGUAN: Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi keluar UMNO dan bekerjasama dengan pembangkang untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan. Bagaimana Tan Sri melihat situasi ini?
SHAHRIR: Itu pilihan dia tetapi yang menimbulkan soal akhirnya kenapa dia hendak bersama dengan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim dan pembangkang untuk jatuhkan Najib. Apa caranya? Pasal dalam sistem politik kita, ada dua cara sahaja. Satu dalam parti. Maknanya, majlis tertinggi ataupun dalam perhimpunan agung. Adanya usul dan sebagainya. Cara kedua dalam Parlimen dan kita tahu usaha itu sudah bermula dalam bajet yang lepas. Sudah diuar-uarkan usaha itu. Sudah bermula di peringkat pembangkang hendak menolak bajet kerana itu satu tanda undi tidak percaya. Sehingga hendak diadakan undi berbelah bahagi, kononnya hendak perangkap dalam mahu menjayakan usaha itu.
Memanglah ia diiktiraf dalam Parlimen itu satu caranya tetapi tidak berjaya. Dalam (undian) bajet tidak berjaya dan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pun tidak berjaya. Kita tidak macam Australia dan United Kingdom (UK) ada Par­liamentary Party. Di Australia, 84 ahli Parlimen sahaja yang menen­tu­kan siapa menjadi perdana men­­teri. Dalam kalangan sesama mereka, mereka mengundi memilih Malcolm Turnbull menggantikan Tony Abbott. Itu sistem Parlimen Australia.
Sistem kita begitu juga. Kalau semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak kepimpinan Najib, tentu itu pun akan berlaku.
Kalau usaha menjatuhkan Perdana Menteri menerusi saluran parti dan Parlimen sudah tidak berjaya, apakah yang diharapkan oleh Dr. Mahathir melalui kerjasama dengan pembangkang?
SHAHRIR: Mahathir keluar UMNO sebab dia kata dalam UMNO sendiri dia tidak boleh buat dan tidak boleh berjaya. Sekarang dia berpakat pula dengan pembangkang. Maknanya guna cara dalam Parlimen juga kecuali dia hendak guna cara Arab Spring iaitu demonstrasi jalanan. Itu ada risiko kepada negara kerana apa yang berlaku pada Arab Spring tidak menampakkan kebaikan kepada negara-negara yang terlibat.
Mesir umpamanya, sampai sekarang masih bergolak dan tak membawa apa-apa perubahan. Kalau usaha yang dilakukan oleh pembangkang itu menggunakan cara demonstrasi jalanan, itu ada risikonya kepada negara dan tak sepatutnya diikut.
Pada pandangan Tan Sri, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh Dr. Mahathir dan pembangkang jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri?
SHAHRIR: Pernah dahulu semasa reformasi, cara itu (demonstrasi jalanan) juga digunakan, tetapi yang mustahak adalah pilihan raya.Apa pun perubahan yang hendak dilakukan di negara ini, tunggulah pilihan raya. Pasal Pilihan Raya Umum 1999 pun, isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya menjadi fakta dan ia terbawa daripada gerakan reformasi pada 1997-1998. Jadi, pilihan raya jalan yang terbaik.
Apakah tindakan Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan pembangkang untuk mendesak Najib meletak jawatan boleh menjejaskan UMNO?
SHAHRIR: Yang baiknya, Muhyiddin masih kekal dalam UMNO. Ini bermakna dia akan menggunakan medan UMNO itu sendiri. Sama ada dia boleh berjaya atau tidak, itu bergantung kepada usaha dan sambutan yang bakal diterima. Tetapi saya rasa ahli-ahli UMNO tahu akhirnya akan datang pilihan raya. Kita hendak menang pilihan raya dan ia lebih besar daripada perjuangan yang dibawa oleh Muhyiddin.
Tan Sri sendiri dan beberapa tokoh dalam UMNO seperti Tan Sri Musa Hitam dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pernah berada di luar UMNO. Apabila Semangat 46 dibubarkan, Tan Sri dan rakan seperjuangan terus kekal dalam UMNO walaupun ada isu berkaitan Anwar dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas itu. Namun, Dr. Mahathir telah dua kali keluar daripada UMNO.
SHAHRIR: Saya tetap bersama UMNO walaupun saya tidak menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal. Saya buat pilihan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum 1990. Saya buat keputusan undur diri. Pada masa itu, Mahathir adalah Perdana Menteri. Saya balik semula apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri. Tetapi saya tidak tinggalkan UMNO. Cuma dalam masa itu, saya digantung dan sebagainya. Hanya pada 1988, saya bertanding sebagai calon Bebas pasal ketika itu disekat jawatan dalam parti padahal saya ketua bahagian. Saya diberikan tugas untuk memenangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Puteri. Saya dan orang-orang saya pun bantu, tetapi apabila sampai penubuhan UMNO baharu, kita diketepikan. Itu yang menyebabkan kita memberontak dengan cara bertanding sebagai Bebas.
Kalau dahulu saya menang sebagai calon UMNO tetapi kali itu saya tidak dibenarkan masuk UMNO, saya kena tanya rakyat dan pengundi apa pilihan mereka. Saya memberi kuasa pemilihan itu kepada rakyat, apabila saya disekat daripada masuk UMNO. Bukan saya tidak mahu masuk UMNO, malah saya membantu calon UMNO baharu yang pertama dalam negara ini iaitu di PRK Tanjung Puteri. Walaupun kita bantu, kita disyaki dan dituduh macam-macam dan tidak boleh masuk UMNO baharu.
Saya letak jawatan sebagai ahli Parlimen dan saya bertanding. Saya serah pilihan itu kepada rakyat, hendak saya mewakili mereka atau tidak. Tetapi pada Pilihan Raya Umum 1990, saya tarik diri sebab pada masa itu pasal Mahathir masih Perdana Menteri. Apabila ada perubahan pucuk pimpinan, saya balik semula dan pada 2004 sehingga sekarang, saya terus menerus dalam UMNO. Maknanya, saya tetap bersama dengan UMNO dan bukan kerana adanya jawatan. Malahan, kalau saya tak puas hati, saya undur sahajalah dan itu yang saya lakukan pada 1990. Jadi, cara hendak marah atau tidak setuju dengan pemimpin, bukan hanya dengan keluar parti. Ia juga boleh dengan cara kita mengundur diri dari segi jawatan dan sebagai calon. Tidaklah kita tunggu sehingga sampai kena pecat. Contoh, isu Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Itu adalah permintaan daripada UMNO Kedah dan disokong pula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahukan perubahan, apabila ditanya dan dirunding dengan istana Kedah. Keadaan pada masa itu, Mukhriz boleh undur sendiri tanpa perlu tunggu diberitahu dia akan ganti.
Macam sekarang, Muhyiddin kekal sebagai Timbalan Presiden. Dahulu macam Musa, dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan cuma minta kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO. Dia kekal sebagai Timbalan Presiden dan tidak kacau pun Presiden. Hanya apabila sampai tahun 1987, dia kata hendak pertahankan jawatan. Isu dan kritikan yang ditimbulkan semasa dalam pemilihan, bukan sepanjang masa. Jadi macam Muhyiddin, dia akan terus bersuara, bukan lagi tunggu tempoh pemilihan untuk berkempen. Dia kata akan terus bersuara. Jadi, benda itu akan terus berjalan begitu sahajalah. Soalnya, adakah isu itu boleh bertahan dalam suasana seluruh parti sedang bersedia untuk pilihan raya. Nanti, sampai pilihan raya 2018, apa sumbangan dan peranan Timbalan Presiden ini kalau dia kata terus hendak bersuara. Sekarang dia kena nilailah apa yang dia hendak buat.
Sejauh mana tindakan Muhyiddin ini akan memberikan kesan kepada UMNO Johor?
SHAHRIR: UMNO Johor rata-rata tahu dari segi persiapan untuk pilihan raya. Pasal permulaan kerja pilihan raya berjalan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi. Persiapan pilihan raya sudah berjalan. Sama ada ia menjejaskan, kalau bahagian tidak mahu buat kerja. Kalau bahagian tidak mahu buat kerja, apa kesudahannya kerana kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita tidak boleh lari daripada pilihan raya, yang mesti ada.
Saya tidak fikir ahli UMNO Johor sanggup hendak mengalahkan calon UMNO sendiri dalam kawasan masing-masing semata-mata kerana isu ini. Kerana kematangan mereka, tunggu dalam pemilihan parti pula. Jadi, itu sebabnya saya rasa yang menjadi tanggungjawab Najib sekarang untuk bergerak ke arah persiapan pilihan raya dan ia tidak lama lagi iaitu dua tahun lebih sahaja.
Pilihan raya umum akan datang dikatakan sebagai pilihan raya paling sengit. Dan mungkin UMNO Johor sendiri tidak boleh ketepikan Muhyiddin?
SHAHRIR: Pasal kita tidak tahu siapa yang hendak kerja dan siapa tidak hendak kerja, siapa hendak tengok isu politik dalaman, siapa hendak tengok isu pengundi dan sebagainya. Kita tidak boleh hendak ketepikan Muhyiddin pasal dia ada bahagian dia. Tentunya dia akan tumpu kepada bahagian dia. Kalau orang Pagoh kata hendak protes, takkan orang Pagoh hendak kalahkan calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pagoh.
Kalau kita dalam parti, kita kena terima itu tanggungjawab kita. Di Johor, kita faham kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Daripada bercakap banyak dan tidak buat apa, lebih baik kita buat kerja. Dan kerja itu ialah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya.
Beberapa pemimpin UMNO ada menyebut tentang wujudnya satu pakatan terancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Sejauh mana kebenaran dan seriusnya dakwaan itu?
SHAHRIR: Ia timbul kerana ada benda-benda pelik berlaku. Itu adalah pandangan saya. Tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah untuk menyiasat dan tugas menyediakan pertuduhan bukan dibuat oleh SPRM. Patut dibuat oleh Peguam Negara. Jadi, yang saya nampak, dan yang pelik itu membuatkan orang kata ada satu konspirasi.
Contoh Bank Negara Malaysia (BNM) buat siasatan, pandangan serta cadangan dan hantar kepada Peguam Negara. Kalau Peguam Negara kata tidak cukup hendak buat pendakwaan, tidak adalah pendakwaan sebab kuasa pendakwaan pada Peguam Negara. Samalah juga dengan SPRM kerana kuasa pendakwaan pada Peguam Negara. Itu yang peliknya boleh timbul draf tuduhan pasal itu bukan kerja SPRM. Kerja SPRM ialah penyiasatan untuk mendapatkan bukti bagi membolehkan Peguam Negara merangka pertuduhan.

Apabila isu 1MDB sudah berlarutan setahun lebih, ia agak menjejaskan dan menimbulkan persepsi buruk kepada UMNO dan BN. Orang muda dan golongan terpelajar juga dikatakan menjauhkan diri daripada UMNO. Bagaimana Tan Sri melihat cabaran ini?
SHAHRIR: Dari segi soal 1MDB, berapa negara yang mengaku menyiasat. Singapura, Hong Kong dan Switzerland kata hendak menyiasat tetapi sudah berapa bulan? Kenapa lama sangat menyiasat tetapi tidak dapat apa-apa. Malah, Switzerland menafikan bahawa mereka menyiasat Perdana Menteri. Kalau mereka nafikan Najib terlibat, kenapa itu pun kita tidak boleh terima. Pasal ini pihak yang luar daripada kita. Kalaulah kita tidak boleh percaya lagi kepada badan-badan dalam negara, ini yang dinyatakan oleh Switzerland. Hong Kong pun diam sahaja dan Singapura pun tidak kata apa. Malah, Amerika Syarikat pun dikatakan menyiasat Perdana Menteri tetapi semua yang didakwa itu tidak berlaku.
Ada pihak yang hanya memilih apa yang mereka hendak dengar dan percaya. Kalau kita hendak buat sesuatu keputusan, kita kena melihat semua. Kita tidak percaya kepada badan kerajaan dalam negara sendiri tetapi kita pun tidak mahu percaya badan-badan kerajaan dalam negara lain. Kenapa kita hendak percaya kepada media yang cakap secara rambang sahaja. Nanti kita tunggu keputusan siasatan Ketua Audit Negara. Itu pun nanti ada yang tidak mahu percaya. Kalau itu pun kita tidak hendak percaya, bagaimana? Apa yang kita hendak percaya? Kita kata hendak cari kebenaran. Dalam hendak mencari kebenaran, kita kena lihat dan kaji semua maklumat yang ada pada kita. Kalau kita cakap apa yang Sarawak Report dan Wall Street Journal cakap itu semua betul, itu juga sama macam di era Mahathir.
Tuduhan terhadap beliau macam-macam, sampai ada buku yang ditulis oleh Barry Wain tetapi tidak ada tindakan mahkamah terhadap Barry Wain, atau penulis buku yang menuduh Mahathir terlibat dalam berbilion ringgit rasuah dan penyelewengan. Tidak ada pun tindakan mahkamah tetapi buku itu berleluasa juga tetapi tidak menjadi masalah. Tetapi apabila melibatkan Najib, dipersoal pula kenapa tidak ambil tindakan saman. Macam-macam tuduhan terhadap Mahathir tetapi tidak ada pun yang kena saman. UMNO juga tetap sokong Mahathir dan bekerja untuk pilihan raya dan tetap menentukan kemenangan.
Apabila kata anak muda tidak percaya, bukan 100 peratus. Kita tahulah ada yang tidak percaya tetapi golongan yang dalam media sosial. Sebab itu, dalam media sosial kita kena berhati-hati dalam soal hendak menerima dan menapis apa yang kita dengar. Sebab itu semasa menghadapi pilihan raya PRU-13 di Johor Bahru, seorang tokoh pembangkang dan tokoh akademik yang rapat dengan saya, dia boleh cakap dengan saya bahawa orang muda tidak akan undi saya. Tetapi terbukti orang muda yang tidak mengundi BN hanyalah golongan Cina, yang Melayu masih meningkat sampai 85 peratus. Jadi, pandangan orang yang melihat kepada media sosial pada PRU-13 itu begitu juga bahawa orang tidak akan sokong BN tetapi kepada pengundi di kawasan-kawasan bukan Melayu. Tetapi anak muda di kawasan-kawasan Melayu ini meningkat.
Pada saya, hendak buat tuduhan secara rambang, kita kena berhati-hati. Tidak semestinya apa yang kita baca dan pandangan yang disampaikan dalam media sosial menepati selera mereka. Sebab, mereka juga akan melihat prestasi kerajaan. Apakah janji yang telah dilaksanakan selepas pilihan raya. Dan mereka lihat keadaan mereka. Sama ada soal cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau TPPA, mereka akan melihat realitinya. Orang kata setiap daripada kita bayar GST RM17 sehari, ikut pukul rata. Maknanya, takkanlah kita belanja sampai RM8,500 sebulan atas barang-barang GST.
Momokan memang sensasi tetapi dari segi realiti, benda itu tidak betul. Kita mungkin bayar RM3 RM4 sehari. Ini yang realiti berbanding dengan apa yang didakwa dalam media sosial atau tuduhan oleh pembangkang.
Macam contoh kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Pada masa itu, saya Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan PAC menyiasat PKFZ. Satu ketika saya difahamkan oleh pihak Peguam Negara bahawa adanya ‘money trail’ iaitu boleh dijejak bagaimana duit itu mengalir. Tapi apabila dibawa ke mahkamah, tuduhannya hanya kepada Tun Dr. Ling Liong Sik bahawa dia memberikan maklumat yang salah kepada Kabinet. Apabila dibawa ke mahkamah, bekas Perdana Menteri mengatakan dia faham dan tidak disalahertikan maklumat. Jadi, menanglah tuduhan terhadap Liong Sik. Apa cerita ‘money trail’? Maknanya tidak adalah. Apa pun dan macam mana pun kita siasat dan bagaimanapun cerita itu, akhirnya tuduhan dirangka oleh Jabatan Peguam Negara. ( Utusan online).Posted by anmulya  //haji abu bakar ninggal.blogspot.com  2155hrs on March 07,2016.

No comments: