![]() |
Paip minyak di kilang penapisan petroleum di Iraq. Penganalisis memberi amaran bahawa bekalan minyak masih tinggi dan boleh mendorong kejatuhan harga minyak dunia pada masa depan. gambar hiasan |
SINGAPURA 7 Mac – Harga minyak melonjak dalam sesi dagangan hari ini, setelah berhadapan dengan paras terendah tahun ini berikutan bekalan yang ketat dan prospek global yang bertambah baik mengukuhkan lagi sentimen dalam pasaran yang semakin pulih.
Minyak mentah Brent diniagakan pada AS$39.30 (RM160.90) setong, meningkat 1.5 peratus berbanding sesi sebelumnya dan satu pertiga lebih tinggi daripada paras terendah yang dicatatkan Januari lalu. Sebelum ini, harga minyak jatuh ke paras terendah pada 2003.
Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) pula diniagakan pada AS$36.55 (RM149.64) setong, meningkat 63 sen daripada sesi sebelum itu dan 40 peratus lebih tinggi berbanding paras terendah, Februari lalu.
Penganalisis pasaran OptionsXpress, Ben Le Brun berkata, keadaan harga minyak yang semakin beransur pulih kemungkinan boleh mendorong kepada peningkatan sehingga mencecah AS$40 (RM163.77) setong.
“Dengan mengambil kira keseluruhan makro dan menunjukkan penambahbaikan, maka, saya melihat harga minyak akan meningkat sedikit,” katanya.
Dari segi bekalan, firma tenaga AS mengurangkan kapal penggerudi minyak untuk minggu ke-11 berturut-turut pada minggu lalu dan mencatat paras terendah sejak Disember 2009 setelah pengeluar mengurangkan kos.
Bagi langkah mengetatkan bekalan pada masa depan, peniaga berkata, perubahan sentimen akan meningkatkan harga memandangkan kedudukan jualan dalam jumlah yang besar akan ditutup dan pertaruhan terhadap peningkatan harga minyak.
Sementara itu, Ketua Penganalisis Pasaran CMC Markets, Ric Spooner berkata, terdapat prospek yang menunjukkan Brent boleh mencecah AS$40 (RM163.77) setong pada sesi dagangan seterusnya.
Bagaimanapun, di sebalik peningkatan harga minyak baru-baru ini dan prospek yang kukuh, para penganalisis memberi amaran bahawa bekalan minyak masih tinggi dan ia kemungkinan boleh mendorong harga kembali jatuh.
Kebanyakan penganalisis masih menganggarkan antara sejuta hingga dua juta tong minyak mentah akan dikeluarkan setiap hari dalam situasi lebihan bekalan sekali gus menyebabkan tangki dipenuhi dengan minyak yang tidak terjual.
– REUTERS( Utusan onlineP).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 8.37 am on 08 March,2016
No comments:
Post a Comment