![]() |
PUTRAJAYA 18 Mac – Gabungan NGO-NGO Malaysia hari ini menyerahkan memorandum menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Memorandum itu antara lain turut mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya pakatan Dr. Mahathir dan pembangkang yang dibentuk baru-baru ini bagi menjatuhkan Perdana Menteri.
Penyerahan memorandum itu dilakukan oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos kepada wakil daripada pejabat Dr. Mahathir, Muhamad Fazil Saad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Jamal, Gabungan NGO-NGO Malaysia telah sepakat dan sebulat suara melafazkan ikrar serta taat setia tanpa berbelah bahagi untuk menyokong penuh Perdana Menteri yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui pilihan raya.
“Kami menghormati hak kebebasan bersuara dan hak untuk menyatakan pandangan yang diamalkan di negara ini, elemen itu penting dalam amalan demokrasi yang bertunjangkan dasar inklusif dan keterbukaan serta semangat Perlembagaan Negara.
“Bagaimanapun, kami berpendirian bahawa keterbukaan ini perlulah tertakluk kepada adab, etika dan disiplin serta semangat patriotik, terutamanya apabila melibatkan pemimpin tertinggi negara ini,” katanya ditemui pemberita bersama lebih 500 ahli Gabungan NGO-NGO Malaysia di pekarangan luar Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Jamal, Gabungan NGO-NGO Malaysia juga kesal dengan tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO lain yang turut bersekongkol dengan pemimpin DAP.
“Kami sedar kebelakangan ini, Datuk Seri Najib berhadapan dengan masalah persepsi rakyat yang melampau berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion, namun telah disahkan bahawa tiada sebarang kesalahan dalam hal tersebut.
“Rakyat perlu sedar di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, beliau telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan cemerlang selain menggandakan pembangunan di kawasan luar bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya menolak pakatan Dr. Mahathir dan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri kerana perkara tersebut tiada asas kepentingan rakyat dan negara selain dilihat lebih bersifat untuk mencari jalan pintas untuk memerintah negara ini.
“Kami juga mendesak Dr. Mahathir melepaskan segala keistimewaan yang digunakannya kini yang dibayar oleh kerajaan, antaranya penggunan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai tempat berpolitik dan perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.( Utusan online).Posted d by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.om on March 19,2016.
No comments:
Post a Comment