Irmohizam Ibrahim
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, usul yang dibawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) itu tidak menggambarkan suara sebenar mereka kerana hanya 4.45 peratus daripada 16,535 ahli Badan Peguam Malaysia menyokong usul tersebut.
Katanya, sebagai golongan profesional, Majlis Peguam seharusnya lebih teliti dan fokus dalam menegakkan undang-undang serta tidak boleh dilihat seakan-akan berpolemik terhadap isu semasa sehingga menjejaskan kredibiliti profesion guaman di negara ini.
“Membuat usul peletakan jawatan Peguam Negara adalah satu tindakan yang tidak profesional malahan boleh ditafsirkan sebagai satu pertikaian kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong. Kuasa budi bicara Peguam Negara adalah tertakluk di bawa fasal tiga, Perkara 145 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berharap agar usul ini tidak dibuat atas desakan politik pihak tentu. Saya juga melahirkan kebimbangan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap nama baik Malaysia apabila usul ini dibentangkan Majlis Peguam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis Peguam dalam AGM yang diadakan semalam bertindak membincang dan meluluskan usul mendesak Mohamed Apandi melepaskan jawatan walaupun sedar jawatan beliau adalah dilantik dan diberi kuasa melalui Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Majlis Peguam juga menuntut Peguam Cara Negara mengambil alih peranan pendakwa raya dalam kes-kes yang mungkin melibatkan Perdana Menteri, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion dan SRC International.
Dalam pada itu, Irmohizam mencadangkan supaya Akta Profesion Undang-undang 1976 dikaji, diperhalusi dan dipinda bagi memastikan Majlis Peguam lebih beretika, berintegriti tinggi dan profesional.
“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar akta tersebut dikaji semula dan diperhalusi bagi memastikan peranan Majlis Peguam lebih relevan termasuk melihat kepada ketelusan dalam pemilihan kepimpinan mereka.
“Saya berharap keahlian kepimpinan Majlis Peguam diberikan penekanan agar keanggotaannya benar-benar menghormati undang-undang serta memahami konsep pengasingan kuasa di antara kehakiman dan pendakwaan,” ujarnya.(Utusan on line).OPosted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at  11.10 am on March 21,2016.