Gambar majlis itu dimuat naik di laman sosial Facebook Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menunjukkan Tengku Razaleigh dan barisan pimpinan UMNO Kelantan yang diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan deklarasi tersebut kepada Najib.

Annuar ketika ditemui selepas majlis itu berkata, penyerahan deklarasi itu susulan perhimpunan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada Najib serta menolak pakatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang.
Menurut beliau, dalam pertemuan selama dua jam itu, pemimpin-pemimpin Kelantan dan Perdana Menteri turut berbincang mengenai hal ehwal kemajuan negeri Kelantan.

“Antaranya termasuk hal-hal berkaitan royalti minyak, cadangan menyegerakan pembinaan lebuh raya baharu iaitu dari Gua Musang ke Kota Bharu, pembesaran lapangan terbang serta pembinaan stadium baharu.

“Kita juga mengemukakan syor-syor tertentu kepada Perdana Menteri. Selain mengucapkan terima kasih kepada inisiatif yang kami ambil, Perdana Menteri juga berjanji akan melihat syor-syor yang dikemukakan pemimpin-pemimpin Kelantan,” katanya.

Annuar bagaimanapun berkata, syor-syor tersebut tidak boleh didedahkan secara terperinci kerana masih dalam pertimbangan Najib namun banyak menyentuh hal-hal berkaitan politik, pembangunan dan ekonomi.

Dalam pertemuan itu juga, kata Annuar, Perdana Menteri turut berkongsi tentang perancangannya dalam mengukuhkan ekonomi serta hasil daripada langkah-langkah yang telah diambilnya dalam menangani keadaan kelembapan ekonomi global.

Pendirian Tengku Razaleigh dalam arena politik semasa sering menjadi persoalan berikutan tindakan Dr. Mahathir mengetuai sekumpulan individu termasuklah pemimpin pembangkang menggerakkan satu deklarasi mahu menjatuhkan Najib.

Pada majlis menandatangani deklarasi menentang Najib itu, nama Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan turut diumum oleh pengacara meskipun beliau tidak hadir.

Berikutan itu, timbul tanda tanya mengenai pendirian sebenar veteran UMNO berkenaan.
Pada 7 Mac lalu, ketika ditemui wartawan pada sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh menjelaskan beliau tidak mengetahui mengenai majlis menandatangani deklarasi menjatuhkan Najib itu.

“Saya tidak hadir. Saya tidak menyokong. Saya tidak tahu pun,” katanya ketika itu.( Utusan on line).Posted by  abnmulya//haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1402 hrs on March 25,2016.