Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu,Kelantan,Datuk Moha­mad Fatmi Che Salleh berkata, sebagai sebuah parti politik, UMNO sudah lali diserang musuh terutama pembangkang, namun serangan oleh seorang bekas pemimpin yang dianggap se­perti keluarga sendiri meninggalkan kesan emosi yang cukup mendalam.
“Lazimnya kalau pergaduhan sesama sendiri, itu lebih pedih dari segi emosi. Bayangkan kita bergaduh anak-beranak atau suami isteri.
“Samalah juga be­kas Presiden UMNO selama 22 tahun. Perasaan sakit di hati itu sudah tentu amat besar berbanding kita berlawan dengan orang luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Taklimat Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Kota Bharu, di sini hari ini.
Dalam program sama, Mohamad Fatmi bersama ahli UMNO Kota Bharu membuat deklarasi menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri serta Pre­siden UMNO.
Mohamad Fatmi dalam pada itu berkata, sejak krisis dalaman itu timbul, beliau secara peribadi tertanya-tanya apakah punca sebenar Dr. Mahathir melakukan serangan mahu menjatuhkan Najib.
“Saya sentiasa mencari jawapan itu dan hari ini, saya mendapati tidak ada sebab munasabah, sebaliknya hanya agenda peri­badi beliau. Mungkin ada sesuatu perkara yang beliau kehendaki tetapi tidak dapat. Mungkin kuasa, mungkin politik, mungkin benci kepada Najib.
“Bagaimanapun apa yang beliau buat hari ini melampau. Beliau hanya mempunyai matlamat mahu menjatuhkan pemimpin, tetapi rancangan beliau yang seterusnya selepas itu tidak ada. Apa akan jadi kepada negara, kepada rakyat jika pemimpin dijatuhkan,” katanya.
Beliau menambah, sehingga ke hari ini, tidak ada sesiapa tahu apa niat sebenar yang terbuku dalam hati Dr. Mahathir kecuali Allah SWT dan dirinya sendiri (Utusan online).Posted  by abnmulya  //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 10.15 am on March 26,2016.
.