Katanya, ahli UMNO juga diminta mengingati dan mencontohi tiga nilai yang ada dalam diri Allahyarham iaitu kesetiaan kepada parti, ketaatan kepada pemimpin dan ketulenan terhadap perjuangan UMNO.

“Sebab itu apabila kita berkumpul hari ini, kita mengenang kembali perjalanan UMNO selama ini, kita juga kenang budi dan jasa pemimpin terdahulu dan tanggungjawab kita adalah meneruskan apa pesanan pemimpin terdahulu.

“Walaupun mereka tidak lagi ada bersama, mereka mahu kita terus mempertahankan UMNO dan menegakkan UMNO, bukan meninggalkan UMNO, mengkhianati UMNO kerana selagi ada UMNO, perjuangan boleh diteruskan. Tanpa UMNO terkuburlah segala-galanya macam Encik Ghafar cakap, “tiada UMNO tiada Barisan (Nasional), hancurlah segala-galanya,” katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan doa sempena 10 tahun pemergian Allahyarham Abdul Ghafar di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Bukit Peringgit di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; barisan pemimpin kerajaan negeri; ahli keluarga Allahyarham Abdul Ghafar dan lebih 2,000 penduduk.

Allahyarham Abdul Ghafar menjadi Timbalan Perdana Menteri keenam pada tahun 1986 hingga 1993, me­ninggal dunia pada 23 April 2006 dan dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga 1967 dan Naib Presiden UMNO selama 25 tahun berturut-turut mulai tahun 1962.

Menurut Najib, Allahyarham Abdul Ghafar yang dipanggil Encik Ghafar tidak pernah marah atau merajuk walaupun tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“(Jawatan) itu bukan wadah perjuangannya. Bagi Allahyarham, jawatan tidak penting sebaliknya UMNO adalah segala-galanya, itu yang boleh kita pelajari hari ini. Generasi kita perlu menilai ini (jasa dan semangat Abdul Ghafar) kerana ia tidak boleh kita cari, kita ganti dan mesti sematkan semangat ini dalam hati, lubuk jiwa kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau menghadiri majlis doa dan tahlil hari ini bukan semata-mata sebagai Presiden UMNO atau Perdana Menteri, sebaliknya hadir kerana Allahyarham Abdul Ghafar tidak boleh dipisahkan dengan perjuang­an UMNO dan keluarga bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Saya cuba hendak bertanya apakah sebenarnya bila kita adakan majlis seperti ini, apakah signifikannya, signifikannya dua iaitu satu, kita memperingati tokoh negarawan, politik, pemimpin yang kita sanjung tinggi dan kedua, kita cuba untuk memperingati nilai-nilai kepemimpinannya,” kata beliau.

Najib turut meminta semua ahli supaya menjaga keutuhan UMNO serta melakukan yang terbaik dan setia kepada parti.

“Kalau ada perbezaan pendapat pun, carilah jalan (untuk menyelesaikan) menerusi permuafakatan dalam UMNO, akhirnya kita akan bercantum. Perbezaan pendapat tidak menjadi masalah. Sebab itu saya terima dengan senang hati Tamrin (anak Allahyarham Abdul Ghafar) datang ke rumah kerana akhirnya bercantum semula sebab bapa rapat, anak-anak pun mesti teruskan perjuangan.

“Tak payahlah Tamrin untuk meminta maaf sebab saya anggap beliau sebagai sahabat karib untuk teruskan perjuangan,” jelasnya.

Majlis tahlil itu dipimpin Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil manakala doa dibacakan oleh Idris.

Perdana Menteri turut meluangkan masa selama setengah jam melawat galeri Memorial Tun Abdul Ghafar sebelum menunaikan solat zuhur di Masjid Peringgit.(Utusanonline).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 8.07am on April 24,2016.