Perdana Menteri berkata, Mara­Corp merupakan sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dengan nilai semasa sebanyak RM1.4 bilion.
Menurut beliau, semua anak syarikat Mara bakal diletakkan di bawah satu bumbung tanpa melibatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan.
“Ia akan disusun lebih kemas dan teratur serta mengamalkan prinsip tadbir urus lebih baik dan menjadikan segala-galanya berge­rak lebih lancar,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Perdana 50 Tahun Mara di Hotel Premiera di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Mennteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi serta Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.
Majlis sambutan tersebut turut disaksikan melalui siaran lintas langsung oleh lebih 20,000 warga Mara di seluruh negara termasuk di Sarawak, Pahang dan Sabah serta di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Rusia dan Republik Ireland.
Najib menambah, Mara juga akan menubuhkan sebuah syarikat iaitu Rural Capital Bhd. bagi menguruskan fungsi pengagihan pinjaman perniagaan oleh agensi tersebut.
Beliau memberitahu, syarikat berkenaan akan menyediakan pelbagai fasiliti kewangan dan bimbingan serta khidmat nasihat keusahawanan.
“Penubuhan syarikat ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan,” jelasnya.
Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan sebuah universiti baharu di bawah Mara yang dinamakan UniMara.
Beliau berkata, matlamat penubuhan UniMara adalah untuk menyediakan pengajian dalam bidang selain pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
“Secara prinsipnya, Kementerian Pendidikan Tinggi telah memberi kelulusan dan dengan ini, ramai pelajar kita dapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di UniMara,” jelasnya.
Selain itu, Najib memberitahu, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan dijenamakan semula sebagai Yayasan Mara dengan peranan yang lebih meluas.
Menurut beliau, selain bantuan pendidikan, Yayasan Mara dengan dana terkumpul sebanyak RM800 juta juga akan menyalurkan bantuan kebajikan, banjir dan kemarau.
Perdana Menteri berkata, semua pembaharuan itu adalah selaras dengan tiga fokus utama Mara untuk 50 tahun akan datang iaitu pembangunan usahawan dan modal insan, penjanaan pendapatan dan pengukuhan tanggungjawab sosial korporat.
Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan penukaran nama Jalan Semarang di sini kepada Jalan Mara.( Utusan online).Posted by abnmulya  // haji abu bakar ningal.blogspot.com.at 3.27 am on April 05,2016.