NAJIB TUN RAZAK diiringi Ahmad Sarji Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama Hamad Kama Piah Che Othman (kiri) dan Dr. Zambry Abd. Kadir menyerahkan replika cek kepada Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Juita Ghazalie (dua dari kiri) selepas majlis perasmian Minggu Amanah Saham Malaysia di Stadium Mini Tapah, Perak, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
TAPAH 20 April - Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak memerlukan campur tangan negara luar untuk menguruskan soal pentadbiran negara.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan dan masa depan negara seharusnya ditentukan oleh rakyat sendiri tanpa bantuan atau nasihat daripada orang luar.
![]() |
“PNB ialah sebuah institusi yang boleh dibanggakan. Ada syarikat yang pernah dimiliki orang asing di London telah berjaya dibawa balik ke Malaysia dan kini menjadi milik rakyat Malaysia.
“Sebab itu kita jangan minta campur tangan asing dalam negara kita. Kita nak uruskan dalam negara yang ditentukan oleh rakyat Malaysia sendir,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Mini Tapah di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Perdana Menteri turut membidas pihak pembangkang yang tidak pernah memberikan penghargaan terhadap usaha kerajaan seperti langkah meringankan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata, sebagai contoh penurunan harga petrol yang tidak pernah dibangkitkan oleh pembangkang.
Kata beliau, harga minyak RON95 sekarang adalah lebih rendah berbanding ketika kerajaan memansuhkan subsidi petrol pada Disember 2014.
“Pembangkang hanya menyalahkan kerajaan. Apabila kita turunkan harga petrol, kita tak mengharapkan pujian pembangkang.
“Tetapi mengapa mereka langsung tidak membangkitkan perkara ini. Mengapa mereka tidak membangkitkan isu-isu barang keperluan yang tidak turun selari dengan penurunan harga minyak,” katanya.
Najib menegaskan, kerajaan akan terus memainkan peranan untuk meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup yang tinggi.
Menurut beliau, ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif contohnya Kedai Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Klinik 1Malaysia.
“Kos untuk kesihatan di negara kita berada pada tahap barangkali antara yang terendah di dunia kerana bayaran yang ditetapkan sangat minimum,” katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal;.blogspot.com at 2311 hrs on April 21,2016.
No comments:
Post a Comment