Berikutan kejayaan itu Tan Sri Adenan Satem mengangkat sum­pah sebagai Ketua Menteri Sarawak di Astana Negeri, Petra Jaya pada pukul 10.20 malam. Sebelum itu pada pukul 8.40 malam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN layak menubuhkan kerajaan melalui majoriti mudah iaitu 42 kerusi.
Kemenangan besar melebihi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya itu dianggap tamparan hebat kepada parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, PAN dan Pas.
DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya berupaya menang di 7 kerusi sahaja daripada 31 kerusi ditandinginya manakala PKR kekal memperoleh 3 kerusi walaupun bertanding di 41 kerusi.
Kegagalan DAP mempertahankan lima kerusinya membuktikan strategi dan pendekatan parti itu dalam meraih undi ditolak oleh rakyat Sarawak termasuklah pe­ngundi kaum Cina.
Sementara itu cita-cita Pas untuk mencatatkan kemenangan sulung di Sarawak 'terkubur’, apabila tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandinginya, begitu juga parti serpihannya, PAN yang kali pertama bertanding. Parti tersebut tewas di kesemua 13 kerusi yang ditandinginya. Turut mengalami yang sama ialah calon-calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Bebas.
Adenan merupakan calon yang mencatatkan kemenangan awal apabila berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi. Beliau yang juga Pre­siden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperoleh 6,360 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan yang hilang deposit apabila hanya berupaya mendapat 468 undi sahaja.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg pula mempertahankan kerusi DUN Satok untuk kali kelapan selepas mengalahkan pencabarnya Mohamed Salleh Shawkatali daripada PKR dengan majoriti 5,045 undi. Beliau mendapat 6,854 undi manakala Mohammed Salleh mendapat 1,809 undi.
Seperti diramalkan, PBB yang merupakan parti komponen terbesar BN di Sarawak menang di kesemua 40 kerusi yang ditan­dinginya, begitu juga Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mencatatkan kemenangan di kesemua 11 kerusi. 

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pula menang 7 daripada 13 kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mencapai kejayaan di 3 daripada 5 kerusi manakala calon langsung BN menang di 11 daripada 13 kerusi.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 4.03 am on Mei 08.2016.