Tunku Abdul Aziz Ibrahim
Tunku Abdul Aziz Ibrahim

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, badan siasatan berkenaan boleh membuktikan siapakah dalang skandal ber­­kenaan sekali gus mampu ‘membersihkan’ nama bekas Perdana Menteri tersebut sekiranya beliau tidak terlibat dalam krisis yang berlaku sepanjang 1991 hingga 1993 itu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Dr. Mahathir tidak menyaman penulis, Barry Wain yang pernah membuat dakwaan serupa dalam bukunya berjudul Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times apabila me­nuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.
“Kita jangan lupa tindakan Dr. Mahathir yang kononnya mahu mempertahankan ringgit itu telah melanggar undang-undang, ini bukan nak pertahankan ringgit tetapi membuat spekulasi sama seperti berjudi.
“Jadi kita semua perlu tahu secara keseluruhannya isu ini. Kalau betul fitnah, mengapa Dr. Mahathir tidak saman Wain yang membuat dakwaan sama dalam bukunya itu?” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid tampil mendedahkan bank pusat itu terlibat da­lam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sepanjang 1991 hingga 1993 dan menyebabkan ke­rugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.
Walau bagaimanapun, bekas wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa, dalam kes perdagangan mata wang BNM yang dilakukan Dr. Mahathir itu, tujuannya adalah baik iaitu bagi mempertahankan nilai ringgit dan tiada duit haram yang masuk ke dalam akaun peribadi sesiapa.
Tunku Abdul Aziz berkata, kenyataan A. Kadir itu disifatkan sebagai penceritaan yang me­­ngarut dan hanya bertujuan mempertahankan Dr. Mahathir.
Menurut beliau, jika benar Dr. Mahathir mahu mempertahankan ringgit, bekas Perdana Menteri itu tidak boleh menggunakan duit simpanan negara sebagai cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tunku Abdul Aziz menjelaskan, kerugian besar yang dialami BNM sepanjang 1991 hingga 1993 tidak menyebabkan nilai ringgit jatuh justeru, tiada keperluan bagi kerajaan menggunakan dana negara untuk menyelamatkan mata wang tersebut.
“Sekali pun didakwa untuk mempertahankan nilai ringgit, buatlah secara betul, takkanlah nak guna berpuluh-puluh bilion sehingga bank-bank utama negara lain terkejut dengan tindakan Malaysia yang dianggap luar biasa,” katanya.( Utusan online.Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal blogspot. com.at 9.38 am on February 08,2017.