Wednesday, April 19, 2017

Perkasa dari segenap sudut

Perdana Menteri lancar Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0
Add caption
NAJIB TUN RAZAK melihat buku Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera selepas melancarkannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh (kanan). – UTUSAN /FAUZI BAHARUDIN

 Zabry Mohamad 
Dan Nabila Yasmin Razib
 20 April 2017 3:00 AM


KUALA LUMPUR 19 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 yang tidak lagi tertumpu kepada sudut ekonomi semata-mata seperti sebelum ini sebaliknya lebih menyeluruh merangkumi segenap aspek ke­sejahteraan hidup termasuk pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya serta persekitaran selesa dan dinamik.
Perdana Menteri yang mena­makannya sebagai Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) berkata, ia diasaskan kepada lima teras bagi melahirkan komuniti dan usahawan bumiputera lebih berfokus, berdaya maju, kreatif serta inovatif dan bersedia untuk bersaing di peringkat global. 

Menurutnya, kelima-lima teras tersebut ialah pertama, melon­jakkan skala bumiputera; kedua, memperkasakan modal insan bumiputera; dan ketiga, meningkatkan daya saing bumiputera.
Teras keempat, tambahnya, mendaya mobiliti sosial bumiputera serta kelima, TKB secara tuntas dan holistik.
“Pucuk pangkalnya, kita tidak boleh berhenti setakat ini atau berasa selesa dan berpuas hati berada pada takuk yang sama, iaitu menjadi jaguh kampung semata-mata.

 “Untuk itu, hasil dapatan daripada Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0, beberapa penambahbaikan telah diterima dan akan diberi pertimbangan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri Kabinet serta para pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, sebagai tambahan dan pelengkap kepada sa­saran 30 peratus ekuiti dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50), pencapaian ekonomi bumiputera juga akan diukur dari segi pendapatan korporat dan isi rumah, peningkatan jumlah profesional berdaftar serta penyertaan di peringkat pengurusan dan berkemahiran tinggi.

 “Maknanya, kalau selama ini DEB melihat dari segi pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat sebagai penanda aras, TKB kini mengambil kira dimensi-dimensi yang lebih meluas dalam mengukur kesejahteraan bumiputera.

“Sebagai contoh, usaha gigih kerajaan selama ini telah pun membuahkan hasil yang mana purata pendapatan isi rumah bumiputera telah meningkat daripada RM3,624 pada 2009 kepada RM5,548 pada 2014, iaitu seba­nyak 53 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, jika diamati dan dirumuskan, impak dasar yang membabitkan TKB di negara ini, manfaatnya tetap dan turut dinikmati oleh semua kaum.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 11.19 am on April 20,2017.

No comments: