Thursday, April 20, 2017

ANWAR BERI KETERANGAN

Pasukan petugas khas mula siasat kerugian Bank Negara Malaysia 


ANWAR IBRAHIM dibawa keluar dengan menaiki sebuah kenderaan selepas memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas Siasatan Kerugian Bank Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN< 


Kamil Maslih 20 April 2017 11:25 PM


PUTRAJAYA 20 April - Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada Pasu­kan Petugas Khas Siasatan Kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam aktiviti spekula­si mata wang asing pada tahun 1990-an.

Penasihat PKR itu itu tiba di Kementerian Kewangan di sini pukul 2.30 petang untuk memberi keterangan kepada pasukan berkenaan sebelum beredar pada pukul 4.45 petang.

Kawalan keselamatan diperketatkan dengan lima kenderaan daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara mengiringi kehadiran Anwar yang masih menjalani hukuman penjara kerana kesalahan liwat.

 Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar serta peguam, R. Sivarasa dan ahli keluarga Anwar turut kelihatan di pekarangan Kementerian Kewangan namun mereka juga tidak dibenarkan bertemu Anwar.

Dalam pada itu, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kelihatan berada di pekarangan Kementerian Kewangan namun pihak media gagal mendapat penjelasan mengenai tujuan kehadirannya.

Pengerusi pasukan petugas khas berkenaan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, Anwar bukan individu pertama yang dipanggil pihaknya bagi membantu siasatan kerugian BNM berkenaan.

 “Ada yang lain sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran keterang­an Anwar itu di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai individu-individu lain akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 26 Januari lalu, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bi­lion (RM44 bilion) melalui ke­giatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah Laporan Tahunan BNM pada 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

Abdul Murad antaranya turut menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dua bekas Menteri Kewangan, Anwar dan Tun Daim Zainuddin perlu disoal siasat bagi merungkai kerugian tersebut.

Gesaan juga dibuat pelbagai pihak agar Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberikan keterangan berikutan pernah membawa usul berkaitan isu itu di Dewan Rakyat pada tahun 1993 dan 1994.

Pada 15 Februari lalu, Kabinet bersetuju untuk penubuhan sebuah pa­sukan petugas khas bagi menjalankan siasat­an kerugian BNM berke­naan.

Mohd. Sidek sebelum ini memaklumkan terma rujukan pasukan petugas khas itu termasuk merangkumi sejauh mana terdapat tindakan menyembunyikan maklumat kerugian tersebut serta mengkaji kalau ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya di Parlimen.

Pasukan itu bertanggungjawab meneliti pematuhan undang-undang, peraturan serta garis panduan berkaitan pera­nan Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing serta sama ada terdapat apa-apa tindakan menutup skala sebenar kerugian BNM dan individu-individu terlibat.

Selain Mohd. Sidek, pasukan berkenaan terdiri daripada enam ahli termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi Suruhanjaya Se­kuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Turut menganggotainya, Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon; Rakan Kongsi Guaman Jahaberdeen Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail selaku setiausaha dan ketua sekretariat pasukan petugas khas berkenaan.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1.05 am on April 21,2017.

No comments: