Friday, May 12, 2017

PERPECAHAN UMAT SIMBOL KEMUSNAHAN

KEMUSNAHAN yang wuju dala beberapa negara Arab akibat perang  wajar dijadikan sebagai telaan bagi umat Islam negara ini betapa pentingnya mengelakkan perselisihan politik dan perpaduan Ummah. Gambar/ Hiasan/AFP..







SAODAH ABD.RAHMAN
12 Mei 2017 12:15 PM

Pergolakan politik sesama umat Islam semakin hari dilihat kian ­meruncing yang mana ia boleh mengundang kepada kehancuran umat dan agama.

Apabila suasana begini sudah wujud maka kemungkinan besar umat Islam akan hilang kuasa dan kedudukan secara beransur-ansur

Perkara begini wujud disebabkan umat Islam mempunyai matlamat dan perjuangan yang berbeza. Pergolakan politik sesama umat Islam semakin hari dilihat kian ­meruncing yang mana ia boleh mengundang kepada kehancuran umat dan agama.

Apabila suasana begini sudah wujud maka kemungkinan besar umat Islam akan hilang kuasa dan kedudukan secara beransur-ansur. Perkara begini wujud disebabkan umat Islam mempunyai matlamat dan perjuangan yang berbeza.

Jika umat Islam mempunyai matlamat yang satu iaitu memperhambakan diri kepada Allah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat maka perbezaan parti politik tidak akan mengundang kehancuran masyarakat dan negara sehingga sosioekonomi dan sosial berada dalam ambang kemusnahan.

Dasar dan objektif perjuangan parti politik walaupun ideal dan komprehensif tetapi belum tentu dapat dilaksanakan secara sempurna jika individu yang menerajui parti politik tersebut tersasar daripada landasan matlamat ­sepertimana digariskan oleh tokoh parti tersebut.

Konsep berpolitik umat Islam masa kini lebih menjurus kepada taksub kepartian sehingga menghakis sikap kasih sayang dan kerjasama sesama umat Islam.

Fenomena berpolitik masa kini lebih mengutamakan kepentingan peribadi ahli politik sama ada berkaitan material dan kerohani .

Setiap program yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik hanyalah untuk kepentingan parti tersebut sahaja bukan dilihat dari sudut kebajikan untuk keseluruhan masyarakat.

Sifat ketaksuban kepada parti politik menyebabkan umat Islam gagal memperjuangkan konsep universaliti sepertimana dianjurkan oleh Islam.

Perjuangan mereka menjadi semakin sempit, berbentuk kelompok dan berpuak-puak dalam setiap kegiatan kemasyarakatan sama ada berkaitan material dan keagamaan.

Kebanyakan program agama yang dianjurkan oleh parti politik tertentu adalah khusus untuk ahli-ahli mereka sahaja di mana ahli-ahli parti politik lain tidak dijemput untuk menyertai program tersebut. 

Jika sesebuah kawasan itu di­kuasai parti politik tertentu maka penceramah agama daripada kumpulan mereka sahaja yang menguasai masjid, surau dan ­seumpamanya.

Jika penceramah itu memiliki ilmu agama secara komprehensif dan mempunyai jiwa agama maka masyarakat akan dapat mengha­yati ilmu agama bertepatan dengan konteks ajaran Islam.

Jika pence­ramah menggunakan agama untuk kepentingan politik dan diri maka intisari ajarannya lebih kepada perjuangan politik bukan berdakwah.

Perkara berkaitan keagamaan dan kerohanian sepatutnya disertai umat Islam secara keseluruhannya. Pemisahan masyarakat akibat perbezaan parti politik boleh menyebabkan permasalahan moral remaja seperti penyalahgunaan dadah dan seumpamanya sukar untuk diatasi kerana umat Islam tidak bekerjasama untuk mengatasi permasalahan itu.

Kerjasama dan membantu sesama umat Islam sepatutnya dijadikan amalan kehidupan masyarakat Islam. Perkara ini dijelaskan Allah dalam Surah 5 (al-Ma’idah): 2 yang bermaksud:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan persengketaan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.

Perselisihan politik dan ­per­pecahan ummah dalam jangka masa lama boleh menyebabkan umat Islam kurang prihatin terhadap isu-isu penting dalam kehidupan mereka.

Tumpuan mereka hanyalah untuk mempertahankan parti politik dengan pelbagai cara tanpa menghiraukan permasalahan ummah dan pembangunan insan. Kemusnahan yang wujud dalam dunia Arab sepatutnya dijadikan sebagai teladan bagi umat Islam dalam negara ini.

Masyarakat Islam sepatutnya bijak menilai kebaikan dan keburukan sesuatu parti politik supaya mereka tidak menghabiskan masa melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merugikan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Allah SWT menyeru umat Islam supaya berhati-hati dengan kegiatan yang boleh menyebabkan perpecahan umat sepertimana firman-Nya dalam Surah 6 (al-An’am): 159 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang yang berpecah-belah dalam agamanya dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawab mu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah (terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat”.

Perjuangan politik yang bermotifkan kepentingan diri tidak akan diberkati Allah walaupun Islam menjadi slogan parti mereka. Sikap dan tindakan dalam arena politik menentukan sejauh manakah perjuangan mereka bertepatan dengan tuntutan Islam.

Jika perjuangan politik masih terikat dengan kelompok dan kehebatan diri sebagai pejuang Islam maka tidak mungkin keadilan dan kesaksamaan dapat dilaksanakan ketika kuasa berada dalam genggaman mereka.

Ini disebabkan corak pemikiran dan kehidupan berkelompok sudah disemai dengan begitu lama dalam minda dan hati nurani mereka. Umat Islam sepatutnya me­ngetepikan perbezaan parti politik jika mereka ingin membentuk masyarakat Islam yang ideal.

Pertelingkahan politik sesama umat Islam jika tidak ditangani secara bijaksana akan menyebabkan umat Islam musnah. Oleh itu, tumpukan kepada kegiatan yang boleh menyatupadukan umat dan menaikkan syiar Islam sepertimana yang diharapkan Rasulullah SAW terhadap umatnya dengan sabdanya:

 “Akan sentiasa ada sekelompok dari umatku yang membela kebenaran, yang tidak akan membahayakan mereka orang yang merendahkan mereka sampai datangnya keputusan Allah, dan mereka dalam keadaan demikian”.

Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman,Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.( Utusan online).Posted by abnmulya  // haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 2.15 am on Mei 13,2017.

No comments: