Thursday, July 27, 2017

RAMAI TIDAK SETUJU DR.M KETUAI PEMBANGKANG

Empat panel Forum ‘Mahathir Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah’ iaitu Hishamudin Md. Rais (kanan), Mohamad Sabu (dua dari kanan), Michael Jayakumar Devaraj (dua dari kiri) dan Haris Ibrahim (kiri) ketika menjawab soalan daripada orang ramai yang hadir. 

FARHANA JONIA
A27 JULAI 2017 @ 3.00AM.

KUALA LUMPUR 26 Julai - Majoriti peserta yang hadir dalam Forum ‘Mahathir Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah’ anjuran Kelab Bangsar Utama di sini malam tadi melahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju de­ngan tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pengerusi pakatan tersebut.

Empat panel jemputan iaitu aktivis pembangkang, Hishamudin Md. Rais; Presiden PAN, Moha­mad Sabu; Dr. Michael Jayakumar Devaraj daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Haris Ibrahim daripada Asal Bukan UMNO (ABU) dilihat gagal menjawab soalan mengapa pembangkang perlu bergantung pada bekas Perdana Menteri itu untuk melakukan revolusi dan perubahan.

Seorang lagi peserta yang memperkenalkan diri sebagai Haris mendakwa, dia merupakan pengikut tegar zaman reformasi dahulu dan lantang melabelkan kesemua pemimpin pembangkang hari ini sebagai badut kerana tidak belajar daripada kesilapan lalu. “Kami dah letih nak mende­ngar badut-badut semua ini menyampaikan ceramah politik.

Dahulu kutuk dan hasut kami mengenai Mahathir, kata dia bapa segala kejahatan, tetapi hari ini gembira menjalin kerjasama de­ngan Maha Firaun itu?

“Dulu kutuk Mahathir, sekarang bekerjasama dengan Mahathir kutuk Najib. Esok lusa turun bekerjasama pula dengan Najib? Tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu!” katanya sebelum meninggalkan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tempat forum itu berlangsung setengah jam sebelum program itu ber­akhir pukul 11 malam.

Michael Jeyakumar yang juga Ahli Parlimen Su­ngai Siput cuba memberi penjelasan kepada peserta iaitu pembangkang memerlukan Dr. Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu di kawasan kampung kerana majoriti mereka masih percaya terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Kita nak masukkan Dr. Ma­hathir sebab sebelum ini kita gagal mengurangkan kekhuatiran orang Melayu yang kebanyakannya bimbang jika pembangkang menang, segala subsidi yang di­terima akan ditarik balik,” katanya.


Mohamad pula mengakui mes­kipun Dr. Mahathir menjadi pe­ngerusi dalam pembangkang, barisan kepemimpinan tertinggi lain berperanan seperti diktator terhadapnya.

“Soal diktator atau kuku besi, kami telah mengadakan mesyua­rat rasmi dan tidak rasmi berkali-kali, banyak cadangan beliau ditolak oleh kami. Orang muda perlu berfikir luar daripada kotak sebab yang ditimpa masalah hingga masuk ke penjara, didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) gara-gara Dr. Mahathir sebelum ini ialah kami, tetapi kami telah pun memaafkannya,” katanya.

Isnin lalu, Otai Reformis 1998 secara konsensus menolak keha­diran Dr. Mahathir dalam Pakatan Harapan dan berhasrat memboikot kempen parti yang disertai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, penolakan itu dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu bukan calon yang layak untuk dijadikan sebagai pemimpin contoh kepada pakatan tersebut.( Utusan online).Posted by abnmulya //hsji sbu bsksr ninggsl.blogspot.t 1.14 am 0n July 28,2017.

No comments: