Monday, October 16, 2017

Perhimpunan Gagal,Tampar Maruah Sendiri- PAS

HAMBAR... Sebahagian daripada orang ramai yang menghadiri perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu. – UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz 

Otober 17,2017.


KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kegagalan perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya kelmarin merupakan satu cerminan bahawa gabungan parti-parti pembangkang itu tidak mempunyai barisan kepemimpinan berinte­griti untuk menjulang tema kleptokrasi.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sudah terpalit dengan skandal kewangan negara dan mereka tidak perlu ‘acah-acah suci’ demi menolak peme­rintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Menurut beliau, begitu juga dengan pimpinan DAP yang berkuasa di Pulau Pinang, rak­yat umumnya tidak mempu­nyai keyakinan terhadap parti itu ko­nonnya bersih daripada kroni kapitalisme dan gejala rasuah.

 “Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib ‘gila’ berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa.

 “Kekuatan pengaruh ini bertukar menjadi himpunan menampar ego dan maruah mereka sendiri apabila tidak berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama,” ujarnya.

 Katanya, pemuda Pakatan Harapan gagal menarik sokongan orang muda bawah 40 tahun. 

“Kompetensi, bakat politik dan aura kepimpinan pemuda PAN tidak menonjol,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam portal berita parti itu, harakahdaily.net, hari ini.

Tambah beliau, hambarnya perhimpunan haram itu juga adalah terjemahan bahawa pakatan politik mereka tidak mempu­nyai jentera akar umbi sekali gus menimbulkan persoalan adakah mereka telah mengadakan stimulasi pilihan raya dan pelbagai kerja untuk memenangi pilihan raya umum nanti. 

Katanya, sebelum ini, jentera pilihan raya Pakatan Rakyat yang dahulunya disandarkan kepada Pas atas sikap setiakawan telah membantu rakan komponen, tetapi kali ini jentera Pas tidak perlu memikul ‘biawak’ hidup lagi.

“Kegagalan perhimpunan itu juga menunjukkan mereka tidak berjaya mendapat sokongan ja­ringan sivil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya difahamkan, kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr. Mahathir dalam hierarki kepimpinan Pakatan Harapan diketuai DAP.

“Jika himpunan 14 Oktober lalu adalah nafiri peperangan, maka semua jeneral Pakatan Harapan bolehlah bersara dan melepaskan baton kepada pelapis baharu, tetapi siapa lagi yang mereka ada,” katanya.

Menurutnya, perjuangan menentang rasuah, ketirisan, kroni kapitalisme mestilah digalang oleh insan yang bersih daripada semua kebejatan itu.

“Itulah hakikat tragedi Oktober, himpunan yang bakal membuka pelbagai lagi kisah kocakan dalaman rumah tangga Pakatan Harapan.

“Semoga ada yang segera membuka mata melihat wayang separuh siap ini,” katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya  // haji abu bakar ningal.blogspot.com.at 1355 hrs on Oktober 17,2017.

No comments: