Thursday, January 4, 2018

EGO MAHATHIR SUDAH TERLALU BESAR UNTUK RAKYAT TERIMA

Oleh Amin Yatim
January 0-4,2018
Dipetik dari MyKmu.net
1. Pada usia lebih 90 tahun, Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, berhadapan krisis dalaman terbesar dalam hidupnya iaitu zaman telah terlalu jauh berubah dan di luar jangkauan pemikiran tuanya.

2. Mahathir sepanjang hidupnya adalah manusia yang mempunyai ego besar. Sepanjang hidupnya Mahathir tidak berminat untuk bertolak ansur sama ada dengan ketua sebelumnya seperti Tunku Abdul Rahman, mahu pun ketua selepasnya seperti Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Beliau tidak sempat bergaduh dengan Tun Abdul Razak kerana tempoh hayat Perdana Menteri Kedua tersebut tidak panjang. Demikian juga pentadbiran Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussien Onn yang singkat dan beliau berada ditakuk sebagai pengganti.

3. Mahathir bukan sahaja bergaduh dengan Perdana Menteri, beliau juga bergaduh sultan, hakim, ulama, mufti, sasterawan, warga pendidik, dua orang timbalan beliau, Perdana Menteri Britain, Margaret Tatcher, Perdana Menteri Australia, Paul Keating, Presiden US, George Bush dan Presiden Singapura Lee Kwan Yew.

4. Mahathir seorang manusia yang membesar dengan ego bahawa dunia sekeliling harus bergerak mengikut beliau, bukan dalam kesepakatan dan tolak ansur sejagat. Dalam skrip hidup Mahathir tiada tolak ansur atau mengalah. Jika ada tampak seperti beliau mengalah ia hanyalah perubahan taktikal sementara kerana beliau pada kedudukan lemah atau tidak boleh menang.

5. Malangnya Mahathir tidak memahami bahawa dunia telah jauh berubah. Tahun 2018 tidak lagi sama dengan tahun 2003 ketika beliau meletak jawatan. Malah dari segi geo-politik tempatan, tahun-tahun sebelum 2010 juga sudah jauh berubah berbanding hari ini.

6. Mahathir tidak lagi boleh mengawal saluran media dan membina persepsi rakyat mengikut acuan beliau. Pada 1950 dan 60-an Mahathir mempunyai ramai rakan bersimpati dalam organisasi media yang membentuk pemikiran rakyat. Ini membantu beliau.

7. Apabila beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri, beliau bukan sahaja mempunyai rakan-rakan media yang berpengaruh tetapi juga kuasa mengawal media.

Kesemua media yang sampai kepada sebahagian besar rakyat ketika itu dicorakkan untuk agenda Mahathir. Maka Mahathir sentiasa menang di hati majoriti rakyat sama ada ketika menentang Sultan, Ketua Hakim, Mufti,Musa Hitam, Ku Li hatta pemimpin luar negara pun.

8. Pada zaman penghujung pemerintahannya, beliau hampir jatuh apabila Timbalannya, Anwar Ibrahim mulai menguasai media. Namun Mahathir masih punya kuasa. Kuasa itulah yang beliau gunakan untuk mematikan kerjaya Anwar Ibrahim.

9. Kejatuhan Anwar Ibrahim telah membuka ruang intelektual baru iaitu kemunculan internet bagi menentang “agenda setting” Mahathir. Namun akses ketika itu tidak meluas menyebabkan kebangkitan ini tidak begitu meninggalkan kesan kepada Mahathir dalam pilihan raya 1999 walaupun UMNO berhadapan kemerosotan sokongan yang serius.

10. Ego Mahathir tercalar apabila “third force” dalam UMNO meminta beliau bersara sebelum pilihan raya ke 11 bagi memulihkan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Khabarnya ini disarankan selepas Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya kecil Lunas 2001.

11. Justeru pada 2002, Mahathir mengejutkan Perhimpunan Agung UMNO apabila mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau boleh sahaja mengumumkan dalam sidang akhbar atau memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional. Namun Mahathit sedar jika berlaku sedemikian tentulah ia tidak akan mempunyai kesan emosi dan sentimen yang akan meningkatkan sokongan kepada beliau.

12. Justeru beliau memilih mengumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO selepas berucap berapi-api mengenai perjuangan agama, bangsa dan negara.

Perletakan jawatan tersebut bukanlah sesuatu yang ikhlas. Ia adalah retorik dan “agenda setting” untuk menaikkan semula aura beliau. Maka perletakan jawatan itu ditangguhkan sehingga perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kanan parti.

13. Kosensus dicapai Mahathir akan bersara selepas Oktober 2003. Maka dilihat setahun itu, imej Mahathir kembali digilap dan bergemerlapan sehinggalah pada saat peralihan kuasa pentadbiran kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

14. Kemenangan besar Barisan Nasional dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi mencalar ego Mahathir. Ia membuktikan saranan pemimpin-pemimpin kanan UMNO pada 2001 dulu benar. Mahathir mula menyindir.

15. Apa yang Mahathir tidak jangka ialah Abdullah mulai meruntuhkan legasi dan ego beliau sedikit demi sedikit melalui pembatalan projek jambatan bengkok dan penangguhan landasan berkembar. Malah tindakan akhbar-akhbar arus perdana mengangkat dan menjulang pentadbiran Abdullah sedikit demi sedikit menimbulkan kemarahan Mahathir.

16. Dengan menjulang pentadbiran Abdullah yang berbeza dengan Mahathir, ia merupakan satu kritikan terhadap Mahathir. Mahathir adalah seorang yang tidak akan menerima kritikan dengan hati terbuka. Mahathir bertindak balas menyerang pentadbiran Abdullah.

17. Ketika itu Mahathir mendapat sokongan warga internet. Selebihnya pentadbiran Abdullah yang dijulang dan digilap mulai menampakkan keretakan melalui pembambitan keterlaluan keluarga Perdana Menteri Kelima Malaysia itu.

18. Beberapa keputusan pentadbiran Abdullah yang “flip flop” juga menguntungkan Mahathir. Mahathir juga tidak banyak mempertahankan diri kerana tidak diasak bertubi-tubi seperti sekarang. 

19. Hari ini sebahagian besar aktivis media ineternet yang menggerakkan sokongan dan dokongan terhadap gerakan Mahathir pasca PRU 2004 telah berubah menyokong Najib Razak. Ini kerana mereka percaya pentadbiran dan polisi Najib Razak mempunyai fundemental yang kuat dan baik untuk negara.

20. Ego Mahathir tidak dapat menerima keadaan ini. Beliau secara berterusan membuat dakwaan bahawa kumpulan yang tidak menyokong beliau ini sebagai “makan dedak” Najib Razak. Soalnya apakah mereka dibayar semasa menyokong beliau dulu?

Jika dulu beliau mendapat sokongan walaupun tidak dibayar, mengapa sekarang beliau menuduh mereka menyokong Najib Razak semata-mata kerana bayaran?

21. Hari ini kita lihat ego Mahathir tidak membenarkan beliau mengakui sebarang kesalahan atau kekurangan adalah atas kelemahan beliau sebagai manusia kerdil ciptaan Allah.

22. Dalam ucapan Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) beliau meminta maaf jika pentadbiran beliau dulu ada kesilapan dan kesalahan.

Namun tidak sampai sejam kemudian, dalam sidang akhbar, beliau memberi alasan meminta maaf sebab budaya Melayu, bukannya kerana beliau mengakui apa-apa kesilapan atau kelemahan. Demikianlah besarnya ego Mahathir Mohamad.

23. Apabila dibangkitkan isu-isu kontroversi dalam pentadbirannya, Mahathir bukan sahaja tidak mengakui sebarang kesalahan malah tidak langsung memohon maaf atas kapasiti Perdana Menteri ketika itu.

24. Apabila dibangkitkan hal pemecatan Ketua Hakim Negara, beliau menyalahkan almarhum Tuanku Sultan Johor yang kononnya “bergaduh” dengan Tun salleh Abbas. Namun semua orang tahu ketika itu berlaku konflik hebat antara Kehakiman dan Mahathir Mohamad.

Ini dirakam dalam beberapa tulisan pengarang kanan Utusan, Berita Harian dan NST ketika itu. Antara puncanya ialah apabila Tun Salleh Abas secara terbuka mengkritik pentadbiran Mahathir dalam satu Majlis Makan Malam.

25. Apabila Peguam Negara (ketika krisis tersebut) Abu Talib Othaman membuat kenyataan terbaru bahawa tribunal ditubuhkan kerana badan kehakiman mengkritik eksekutif, Mahathir menyalahkan Abu Talib pula sebagai punca krisis kehakiman yang memperlihatkan pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

26. Kata Mahathir, Abu Talib mempergunakannya. Mahathir tidak mahu mengakui beliaulah yang berjumpa Yang Dipertuan Agong memohon diadakan satu tribunal khas membincangkan salah laku Ketua Hakim Negara dan Hakim Mahkamah Agung.

27. Jika Mahathir ketika muda, berkuasa dan berpengaruh boleh dipergunakan oleh Abu Talib, apa keyakinan kita bahawa Mahathir yang tua, semakin lemah ingatan dan tanpa kuasa tidak dipergunakan oleh orang lain?

28. Mahathir juga langsung tidak mahu mengambil tanggungjawab ke atas peristiwa Memali. Memang bukan Mahathir menembak Ibrahim Libya. Namun bukankah sebagai Perdana Menteri ia harus ambil sebahagian tanggungjawab tersebut? Sebaliknya, Mahathir menyalahkan Polis dan Musa Hitam sepenuhnya.

29. Besarnya ego, Mahathir mempergunakan semua media ketika untuk menggambarkan beliau telah berada di China ketika berlaku. Hakikatnya, Mahathir hanya pergi setelah peristiwa Memali berlaku. Beliau tidak peduli krisis yang sedang berlaku kerana tidak mahu ambil tanggungjawab.

30. Mahathir perlu sedar bahawa ego beliau sudah terlalu besar untuk ditanggung oleh rakyat.

31. Cukup-cukuplah dengan ego sebagai manusia “superhero”. Kita hanya insan kerdil yang akan berhadapan pencipta besar.( Posted by abnmulya // haji abu bakar ninga;.blogspot.com.at 8.30 am on Januaray 05,2018.

No comments: