Najib Tun Razak melambai tangan kepada komuniti Sikh yang menyambut kehadirannya pada sambutan perayaan Hari Vaisakhi 2013 di Gurdwara Sahib, Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA 14 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan berterusan masyarakat Sikh kepada kerajaan selama ini membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa mendukung prinsip keadilan sosial dan dasar inklusif yang memelihara kepentingan semua golongan masyarakat.
Perdana Menteri berkata, dalam memastikan perkara itu diteruskan dan ditambah baik melalui konsep 1Malaysia, semua pihak termasuk komuniti Sikh diminta membuat pilihan tepat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei ini.
Dengan kepercayaan yang diberikan semua komuniti selepas pilihan raya umum itu nanti, katanya, BN yakin dapat melaksanakan amanah rakyat menuju status negara maju berpendapatan tinggi tanpa meminggirkan keperluan mana-mana golongan.
Malah, tambah beliau, dengan mandat baharu yang diberikan kepada BN nanti, golongan minoriti di negara ini bakal menerima faedah lebih baik.
"Saya tidak mahu menukarkan (ucapan ini) kepada ceramah politik tetapi adalah mustahak bagi anda menyokong BN kerana kerajaan ini membela semua masyarakat dan apabila kami berjanji, kami tunaikan.
"Percayalah kepada kami (BN) dan kami akan memacu negara ke arah negara yang lebih baik dan makmur. Saya harap Hari Vaisakhi tahun depan, saya akan dijemput lagi dan akan hadir dengan (mengekalkan) jawatan sekarang," katanya ketika berucap meraikan Sambutan Hari Vaisakhi 2013 di Gurdwara Sahib di sini hari ini.
Najib menambah, komuniti Sikh memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan negara sejak dibawa masuk British untuk mempertahankan negara dalam Perang Dunia Kedua.
Sejak itu, katanya, peranan dan kejayaan komuniti Sikh terus diiktiraf kerajaan melalui beberapa pelantikan individu cemerlang seperti Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu, Dr. Sukhdave Singh dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya baharu, Datuk Hammat Singh dan juga Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Ranjit Ajit Singh.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM3.8 juta tahun ini untuk pembangunan komuniti Sikh meliputi perbelanjaan keagamaan, infrastruktur dan pendidikan.
Katanya, tanah untuk tiga gurdwara di Kuala Lumpur juga sudah diasingkan," katanya.( Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 2400 hrs on April 15,2013.

No comments:
Post a Comment