Monday, May 13, 2013

Pemimpin muda dalam kabinet cerminkan landskap politik semasa-kata ahli akademik



KUALA LUMPUR, 13 Mei — Pengundi muda banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) minggu lepas dan senario ini seharusnya diterjemahkan kepada penyertaan lebih ramai pemimpin muda dalam Kabinet baharu kerajaan.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir
Bagi penganalisis, langkah mengiktiraf pemimpin muda sebagai pentadbir negeri seperti Datuk Mukhriz Tun Mahathir di Kedah, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Johor dan Datuk Idris Haron di Melaka, mencerminkan kerajaan pimpinan BN bergerak seiring dengan perubahan landskap politik negara.

Penganalisis politik turut berhujah tentang perlunya pemimpin muda itu memiliki kriteria seperti proaktif, kreatif dan konstruktif jika dipilih menerajui sesebuah kementerian.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata pemimpin muda yang diangkat sebagai menteri perlu mampu berkomunikasi secara berkesan terutama menerusi alam siber.
Datuk Idris Haron,Ketua Menteri yang baru di Melaka

“Selain itu, kementerian melibatkan orang muda seperti Kementerian Belia dan Sukan memerlukan menteri yang bijak memenuhi kehendak dan kecenderungan generasi muda,” katanya.

Azmi berkata kerajaan juga perlu mempertimbang meletakkan menteri muda di kementerian melibatkan komunikasi yang menjadi tunjang penyaluran maklumat sahih selain menangkis maklumat berbentuk penipuan dan tohmahan terutama di Internet.

 “Masalah sekarang ialah golongan muda lebih mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar dalam Internet berbanding apa yang disalurkan media arus perdana,” katanya sambil menekankan, perkara ini perlu diberi perhatian serius.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian mencadangkan kerajaan mewujudkan Kementerian Perpaduan dan Kewarganegaraan yang diterajui pemimpin muda ke arah memastikan keamanan dan semangat muafakat masyarakat pelbagai bangsa di negara ini terus terpelihara.

“Apabila meletakkan orang muda, kita akan dapat lihat hasil berbeza yang selari dengan cara pemikiran generasi masa kini kerana mereka (pemimpin muda) lebih memahami cara serta kehendak orang orang muda sekarang,” jelasnya. — Bernama(Posted by abnmulya at 1.25 am on Mei 14,2013.

No comments: