Tuesday, February 18, 2014

Anwar dibidas sentuh isu kalimah Allah di gereja

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengecam sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh isu kalimah Allah ketika berceramah di sebuah gereja di Kajang kelmarin.

Sambil merujuk kepada pandangan ulama, Datuk Dr. Siddiq Fadhil dan tulisan pemikir Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) seperti Syed Ali Tawfik al-Attas sejak 2008 mengenai isu kalimah Alllah, beliau menyifatkan Anwar sebagai cukup terdesak untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Kata beliau, kalangan cendekiawan dan ahli fikir dihormati dalam negara ini sudah hampir sepakat bahawa isu kalimah Allah adalah satu perkara yang tidak wajar dipermainkan oleh mana-mana pihak.

''Tidak molek hanya atas niat untuk mendapatkan undi, Anwar seakan-akan 'menjual' pendirian peribadi berbanding keperluan merujuk kepada pandangan ulama dan cendekiawan Malaysia yang lebih faham dengan konteks sebenar permasalahan kalimah Allah ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, tindakan menggunakan pentas gereja untuk mendapatkan populariti politik adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Kata beliau, Anwar sepatutnya lebih bijaksana dalam menilai keperluan untuk menyantuni pendirian dalam kalangan cendekiawan Malaysia yang tegap dan tegas dalam isu kalimah Allah.

''Saya sama sekali tidak melihat Anwar sebagai 'hero' dalam isu kalimah Allah, malahan dia sudah memberikan pengesahan bahawa di atas nama politik, apa sahaja boleh disandar dan dipermainkan. 

''Tindakan melakukan lawak jenaka murahan di dalam isu sebesar kalimah Allah adalah satu perbuatan yang culas dan tidak boleh dimaafkan,'' tegas beliau.(Utrusan online-politik).Posted by abnmulya.blogspot.com.at 10.00 am on February 19,2014.

No comments: