Laporan ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my
KOTA BHARU 13 Okt. - Pelaksanaan hukum atau Kanun Jenayah Syariah II di negeri ini masih tertangguh sehingga kini bukan kerana Kerajaan Pas Kelantan takut pada ancaman dan bantahan berterusan daripada rakan sekutunya iaitu DAP.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud menegaskan, Pas tidak akan tunduk dengan bantahan DAP, sebaliknya terus komited untuk merealisasikan perkara itu.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan telah mendapat jaminan daripada Kerajaan Pusat bahawa pelaksanaan hukum hudud di negeri ini tidak akan dihalang berdasarkan kenyataan rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen serta penubuhan jawatankuasa teknikal di peringkat Pusat.
"Kita tidak laksanakan hukum hudud walaupun enakmen ini diluluskan pada 1993 bukan soal DAP, malah pada masa itu, kita dengan DAP tak berkawan pun.
"Kita dalam soal Islam ini tidak ada kompromi, walau dengan DAP, walau dengan sesiapa sekali pun, tidak ada kompromi. Malah sekarang ini ruang sudah ada apabila jawatankuasa ditubuhkan di peringkat kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adham Kechik (BN-Bukit Bunga) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Nassuruddin turut menyalahkan Kerajaan Persekutuan, terutama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwanya selama ini menjadi penghalang utama kepada usaha Pas melasanakan hukum hudud di negeri ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Mohd. Roseli Ismail (Pas- Kemuning), Nassuruddin memberitahu, pelbagai langkah telah diambil untuk merealisasikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II.
"Antara langkah-langkah utama ialah penubuhan jawatankuasa teknikal peringkat negeri sebelum diperluaskan oleh Kerajaan Persekutuan di peringkat kebangsaan, forum, dialog dan seminar serta memperluaskan pemahaman dalam kalangan rakyat," katanya.( UTUSAN ONLINE-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com.at Okt.,14 2014.
No comments:
Post a Comment