Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, Bank Negara memiliki akses untuk memantau pengaliran ringgit bukan sahaja di dalam negara
malah di luar negara.
“Tindakan spekulator mata wang ini memudaratkan ekonomi negara, sekiranya seseorang rakyat Malaysia didapati melakukannya, ini merupakan kesalahan jenayah dan mencabuli undang-undang.
“Pihak yang paling sesuai untuk menyiasat perkara ini adalah Bank Negara dan semestinya sukar untuk kita memaafkan mana-mana pihak yang melakukan pengkhianatan dengan mengaut keuntungan semasa ekonomi negara sengsara,“ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang mengarahkan agensi kerajaan berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan tentang kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.
Dalam pada itu, pemilik syarikat media, Kumpulan The Edge serta portal propembangkang, The Malaysian Insider, Datuk Tong Kooi Ong hari ini tampil menafikan beliau merupakan individu yang melakukan kegiatan spekulasi mata wang bagi menjatuhkan ekonomi negara seperti yang dikaitkan di media sosial.
Mengulas lebih lanjut, Azmi berkata, meskipun telah ada penafian, Bank Negara tetap perlu melakukan siasatan bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas akibat kegiatan spekulator mata wang.
Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihak berkuasa terutamanya Bank Negara perlu sentiasa mengawasi dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mensabotaj ekonomi negara.
“Kita ada pengalaman pada kegawatan ekonomi tahun 1997-1998, sekelip mata ringgit jatuh menjunam dan kesannya amat parah, kita tidak boleh membenarkan peristiwa yang pahit ini berulang,“ katanya.
Katanya, Bank Negara perlu memberi kepastian kukuh mengenai tuduhan kewujudan spekulator mata wang itu agar kepentingan ekonomi negara dapat terjamin.
Mohd.Fazil Abdullah
Dalam pada itu, Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, Bank Negara mempunyai pakar kewangan yang sentiasa memantau perkembangan ekonomi semasa namun tuduhan mengenai kegiatan sabotaj ekonomi itu perlu dipandang serius. 

“Sekiranya benar rakyat Malaysia sendiri yang melakukan kegiatan spekulasi menjatuhkan nilai ringgit, perbuatan ini bukan sahaja umpama ‘menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka sendiri’ malah adalah pengkhianatan kepada negara.