Thursday, April 30, 2015

Jawatan Timbalan Presiden,Mat Sabu mula goyah

HUSSAINI AMRAN:01 Mei 2015 1:53 AM 

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR 30 April - Peluang Mohamad Sabu untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 Jun ini dilihat agak suram. Sebelum pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Pas Pusat penggal 2015-2017 ditutup hari ini,

Keputusan tidak rasmi menunjukkan beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu itu hanya menerima lapan pencalonan daripada 134 Pas kawasan.

Berdasarkan kepada jumlah tersebut, kedudukan Mohamad dalam persaingan bagi jawatan nombor dua parti itu adalah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan 94 pencalonan yang diterima Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah juga layak bertanding untuk merebut jawatan yang disandang oleh Mohamad itu setelah menerima tiga pencalonan.

Sementara itu, jumlah 99 pencalonan yang diterima Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh diterjemahkan sebagai isyarat jelas akar umbi yang mahu beliau dikekalkan sebagai Presiden Pas. Sekiranya berlaku pertandingan bagi jawatan berkenaan,

Abdul Hadi dijangka tidak menghadapi tentangan sengit memandangkan dua lagi pemimpin Pas iaitu Naib Presiden, Datuk Husam Musa serta bekas Naib Presiden, Ahmad Awang masing-masing hanya menerima lapan dan lima pencalonan.

Bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad mendahului dengan 79 pencalonan diikuti Mohd. Amar yang menerima 47 pencalonan manakala Salahuddin Ayub yang juga penyandang jawatan tersebut beroleh 46 pencalonan.
Pemimpin-pemimpin Pas lain yang dicalonkan untuk jawatan itu ialah Nasrudin Hassan, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Iskandar Abdul Samad, Husam, Tuan Ibrahim dan Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Mohamad juga layak bertanding jawatan Naib Presiden Pas setelah menerima tiga pencalonan. 

Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat dijangka membuat pengumuman rasmi tentang pencalonan dan pertandingan bagi merebut jawatan-jawatan tertinggi parti itu pada 5 Mei ini.(Utusan online-politik) / Posted by abnmlya  / haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 11.52 am on Mei o1,2015.

No comments: