Thursday, April 30, 2015

Zahrain kesal Mahathir terus kritik Najib

01 Mei 2015 1:48 AM

KUALA LUMPUR 30 April – Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kesal dengan kritikan berterusan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga ‘serangan’ tersebut dilaporkan secara tidak tepat media Indonesia.

Datuk Seri Zahraian Mohamad.
Katanya, kritikan Dr. Mahathir terhadap kekayaan Perdana Menteri sepatutnya tidak timbul kerana sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Najib lahir dari latar belakang keluarga bangsawan, yang mana Allahyarham datuknya merupakan salah seorang pemimpin Melayu terkaya pada zaman dahulu. 

“Sebenarnya kita pun tahu kehidupan Perdana Menteri, beliau keturunan dari mana. Sebab kita tahu beliau adalah cucu bangsawan. Datuk beliau merupakan orang Melayu terkaya masa zaman dahulu, pernah jadi speaker yang pertama.

Jadi tak timbul soal dari segi kemampuan. “Mengapa perkara itu perlu dibangkitkan Dr. Mahathir?

Pada saya ini semua tidak adil kepada Perdana Menteri, kerana tidak menjadi masalah untuk berbelanja jika ada kemampuan, yang jadi masalah kalau terlibat dengan penyelewengan,” katanya sebagaimana dipetik daripada Buletin Utama.

Majalah Mingguan Tempo dalam keluaran khas sempena Peringatan 60 Tahun Persidangan Asia-Afrika bagi edisi 20 hingga 26 April pada minggu lalu menyiarkan laporan tidak tepat mengenai Najib dengan tajuk Hidup Mewah Sang Perdana Menteri.

 Laporan tersebut dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk memperlekeh kepemimpinan negara selain ada kaitan dengan siri kritikan keras Dr. Mahathir terhadap kepemimpinan Perdana Menteri sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Zahrain berkata, media-media di Indonesia sepatutnya menyiasat terlebih dahulu kesahihan setiap tuduhan yang dibangkitkan ke atas Perdana Menteri dan bukannya bertindak melaporkan secara tidak bertanggungjawab mengenai sesuatu isu.
“Saya kena jelaskan kerana Tempo atau media Indonesia mereka berkata demikian. Saya sebagai Duta kena mempertahankan maruah dan martabat negara kita. Pemimpin kita diserang begitu hebat atas asas-asas yang tiada bukti, jadi saya perlu tampil mempertahankan,” katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1.15 pm on Mei 01,2015.

No comments: