Wednesday, June 17, 2015

Perpecahan pakatan pembangkang sudah dijangka


18 Jun 2015 1:31 AM Khairy JAMALUDDIN beramah mersa dengan sebahagian pelajar yang mendapat Anugerah Program Penajaan Biasiswa Pendidikan Petronas 2015 di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak ,Selangor, semalam. Turut kelihatan Raiha Azni Abd. Rahman ( kanan ). UTUSAN/Zakaria Idris

KUALA LUMPUR 17 Jun – Perpecahan dalam pakatan pembangkang menepati jangkaan apabila masing-masing tidak mendukung ideologi bersama serta saling menuding jari mencari kesalahan sejak penubuhannya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sekarang adalah masa yang tepat untuk rakyat melihat dan memahami mengenai pakatan pembangkang yang tidak mempunyai daya tahan kerana pilihan yang ‘dihidangkan’ tidak diiikat dengan pemikiran dan aspirasi bersama.

“Sejak dahulu lagi kita beranggapan mereka ini adalah gabungan sementara, tidur sebantal tetapi mempunyai mimpi yang berbeza. Akhirnya perbezaan mimpi itu yang telah memecahkan mereka.

“Retak menanti belah itu sudah pun pecah dan saya melihat mereka tidak ada ideologi yang kukuh untuk dikongsi bersama bagi menjadi harapan kepada rakyat, maka ikatan itu sememangnya rapuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2015, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman.

Beliau mengulas pengumuman Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan, Lim Guan Eng bahawa pakatan pembangkang yang mula terbentuk pada tahun 2008 sudah tidak lagi wujud.

Guan Eng dilaporkan berkata demikian selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menerima usul Muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan parti itu tetapi dalam masa sama mahu terus bekerjasama dengan PKR.

 Sementara itu, Khairy turut menafikan desas-desus Pas dan Barisan Nasioanal (BN) akan bergabung dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Setakat ini, kita di BN dan juga UMNO tidak membuat sebarang perancangan atau khabar untuk bergabung dengan Pas,” katanya.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyampaikan anugerah kepada kira-kira 318 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang teknikal dan bukan teknikal. ( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 5.40 am on June 18,2015.
.

No comments: