Friday, July 3, 2015

1 MDB TIDAK PERNAH SALUR DANA KEPADA PM.

03 Julai 2015 3:54 PM
Datuk Seri Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR 3 Julai - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menjelaskan yang syarikat itu tidak pernah menyalurkan sebarang dana kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pendedahan terbaharu telah membangkitkan kebimbangan mengenai kesahihan beberapa dokumen ‘bocor’ yang digunakan beberapa saluran media dan blog dalam talian seperti Sarawak Report untuk memperdayakan orang ramai selain mewajarkan tuduhan yang dibuat terhadap syarikat ini serta kerajaan.

“Perbuatan sedemikian oleh sesetengah pihak media, amatlah tidak bertanggungjawab dan merupakan perbuatan yang disengajakan untuk menjejaskan syarikat ini,” kata 1MDB dalam satu kenyataan hari ini.

\Menurutnya, berdasarkan laporan media, dokumen berkaitan itu didapati telah dipinda dan digunakan oleh seorang individu yang ketika ini ditahan di negara asing, untuk memeras ugut bekas majikannya.

“Sehubungan itu, kami amat terkejut bagaimana dokumen sedemikian, yang kewujudan dan ketepatannya belum disahkan secara umum, terus digunakan sebagai asas bagi tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB,” katanya.

1MDB turut menegaskan, ia sedang memberi kerjasama bagi beberapa siasatan oleh pihak berwajib termasuk Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara Malaysia.

 “Pihak berwajib berkenaan mempunyai segala maklumat berkaitan dan 1MDB telah meminta semua pihak menunggu hasil siasatan mereka sebelum terus membuat dakwaan serta membuat keputusan secara melulu,” katanya. - BERNAMA ( Posted by abnmulya / Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot. com at 1.10 am on July 04,2015.

No comments: