Monday, July 6, 2015

KEBENARAN AKAN TERBUKTI

RADHUAN HUSSAIN 
DAN ISWAN SHAFIQ MAT ISA
07 Julai 2015 1:52 AM
NAJIB TUN RAZAK diiringi Ahmad Razif Abdul Rahman (kiri) menyampaikan replika cek Dana Bakti Remaja kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Besut, Terengganu, semalam. UTUSAN/ HARISH FADZILLAH
BESUT 6 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau akan berusaha menegakkan kebenaran yang bakal dibuktikan kelak ketika serangan terhadap kepemimpinannya yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus memuncak dari dalam dan luar negara. 

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak bimbang dengan pelbagai dakwaan tidak berasas yang dilemparkan itu dan mengulangi pendiriannya tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Saya tidak akan khianati rakyat. Saya akan cari (jalan) untuk tegakkan kebenaran, bertenang, kebenaran akan terbukti,“ katanya.

Beliau turut menyatakan rasa terharu dan berterima kasih dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din. Haron menyatakan adalah tidak masuk akal Perdana Menteri akan menyalahgunakan wang rakyat ratusan juta ringgit dengan memasukkan dalam akaun peribadinya sebagaimana yang didakwa Wall Street Journal (WSJ).

Menurut Najib, sememangnya tidak masuk akal beliau tergamak berbuat demikian sehingga sanggup mengkhianati rakyat.

“Saya ucap terima kasih kepada sokongan banyak pihak dalam kalangan pemimpin UMNO dan saya juga ucap terima kasih kepada seorang pemimpin Pas yang membuat kenyataan baik terhadap saya. 

“Datuk Haron Din kata adalah tak masuk akal PM (Perdana Menteri) ‘songlap’ duit. Memang tak masuk akal dan sebagai seorang PM, saya takkan khianati rakyat dari dulu sampai sekarang,“ katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dan Pelancaran Program Al-Shahadah Al-Ulya Ulul Albab sempena Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di sini petang ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh serta isteri, Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria dan Ketua UMNO bahagian Besut, Nawi Mohamad.

Dianggarkan hampir 20,000 orang dari segenap lapisan masya­rakat menghadiri majlis berkenaan. Perdana Menteri seterusnya menyeru semua pihak supaya jangan mencantas sesama sendiri kerana gejala itu akhirnya akan membawa perpecahan dalam masyarakat.( Utusan online-).Posted by abnmulya /Haji Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 7.43 am on July 07,2015.

No comments: