Tuesday, July 7, 2015

Selepas Mursyidul Am PAS, giliran Hadi pula bela Najib.

Published: 7 July 2015 12:21 PM 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dengan mengatakan ia sama seperti pertuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memerlukan saksi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Julai, 2015.


Selepas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, giliran Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dengan mengatakan perdana menteri bukannya malaikat tetapi manusia biasa dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya mestilah dikemukakan saksi.

Presiden PAS itu berkata, ini sama sahaja seperti pertuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memerlukan saksi.

“Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga…saksi yang adil," kata Hadi merujuk kepada laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mengatakan berbilion ringgit wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

“Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang,” katanya seperti dilaporkan portal Astro Awani Online di Kota Baru, Kelantan mengulas kenyataan Haron pada Ahad yang mempertahankan Najib daripada skandal terkini seperti didedahkan WSJ.

Haron sebelum ini dilaporkan menyifatkan dakwaan WSJ sebagai “tidak logik” dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dahulu sambil mengatakan, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, akaun sulit akan digunakan dan bukannya akaun peribadi.

Minggu lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan WSJ berhubung dokumen siasatan pihak berkuasa Malaysia terhadap syarikat sarat hutang yang menunjukkan berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada 2013 dan 2015.

Najib menafikan dakwaan itu dan menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamadyang dikatakan sebagai dalang di belakang pendedahan tersebut.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada Sabtu mengatakan sebuah pasukan petugas khas yang dianggotai dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, sudah pun memulakan siasatan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gani turut mendedahkan, pasukan petugas khas menyerbu 3 syarikat yang dikatakan menyalurkan wang ke akaun peribadi Najib, dan menambah beliau sudah menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.

Gani berkata, beliau sudah meneliti dan menyemak kesemua dokumen yang dikemukakan, dan memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini bagi mengambil tindakan lanjut. – 7 Julai, 2015.( Artikel dan photo: Dipetik dari The Malaysian Insier). Posted by abnmulya /Haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1843 hrs on July 07,2015.

No comments: