Para penyokong Pas yang da­tang dari seluruh negara dilihat memenuhi pekarangan stadium itu sejak awal pagi meskipun acara sempena himpunan ini hanya bermula pada pukul 3 petang.
Para peserta yang memakai baju hijau itu juga tidak berganjak meskipun dalam cuaca panas terik dan hujan pada sebelah petangnya semata-mata ingin mende­ngar amanat daripada barisan kepe­mimpinan Pas dijangka bermula kira-kira pukul 9 malam ini.
Himpunan yang digerakkan secara serentak oleh sayap Dewan Pemuda, Ulama, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) itu dimulakan dengan acara pentas anak muda, kesenian Islam serta ucapan pemimpin anak muda.
Manakala pada sesi malam pula akan dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib diikuti solat hajat dan munajat perdana, kuliah Maghrib serta solat Isyak.
Dijangka hadir bagi menyampaikan amanat pada himpunan itu adalah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali dan seluruh kepemimpinan Pas Pusat serta negeri.
Sementara itu Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sambutan di­terima pada Himpunan Fastaqim yang menyaksikan kehadiran lebih 60,000 peserta membuktikan Pas masih mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat.
Katanya, jumlah kehadiran para peserta pada himpunan ini juga melebihi jangkaan awal pihaknya.
“Jumlah kehadiran penyokong membuktikan Pas terus mendapat sokongan sekali gus menangkis dakwaan segelintir pihak sebelum ini bahawa Pas kehilangan sokongan ekoran penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Dapat dilihat para peserta datang sejak awal pagi dan terdapat dalam kalangan mereka yang sejak dari malam tadi berkumpul di perkarangan stadium,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, himpunan yang diadakan ini bukan untuk membuktikan kekuatan atau berlawan dengan perhimpunan Bersih atau Merah.
Sebaliknya, beliau berkata, himpunan tersebut hanya untuk mengukuhkan kembali saf kekuatan Pas selepas parti itu berdepan krisis dalaman.( utusan online-).Posted by abnmulya  / hj.abu bakar ninggal.blogspot.com.aata 1318 hrs on Oktober 20,2015.