Thursday, October 8, 2015

Terraju: Kaum Lain Tak Usah Pertikaikan

Siti Rohaizah Zainal: Otober 09,2015 @1.55am.

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Rakyat pelbagai kaum di negara ini diingatkan supaya tidak mempertikaikan struktur pemerintahan negara ini yang wajib diterajui pemimpin beragama Islam dan Me­layu.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menjelaskan hal ini secara bertulis, tetapi perkara itu diamalkan sejak dahulu lagi.

Dalam konteks sosial pemerintahan, perkara ini telah dipersetujui dan menjadi tradisi bahawa pemerintahan negara ini wajib diterajui pemimpin beragama Islam dan Melayu.

Oleh itu, semua pihak memahami perkara ini dan tidak perlu mempertikaikannya. Isu paling utama negara ini adalah perkauman yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh menggugat kestabilan negara.

Bagaimanapun, jika masyarakat negara ini memahami konsep ke­negaraan dan menjaga sensitiviti antara kaum, isu berkaitan pemimpin tidak akan timbul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui kenyataannya di laman web rasmi Pas Pusat (http://pas.org.my) berpendirian, pemerintahan di negara ini wajib diterajui oleh kepe­mimpinan yang beragama Islam dan Melayu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Islam telah bertapak di Malaysia secara berdaulat sehingga keseluruhan orang Melayu serta sebahagian besar penduduk asal menganut agama berkenaan dan menjadi Melayu Muslim.

Jelasnya, umat Islam tetap menjadi kumpulan majoriti walaupun selepas landskap masyarakat di negara ini berubah menjadi majmuk semasa era penjajahan Barat.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan Faizan Mohd. Noor turut berpendapat bahawa orang Melayu perlu bersatu padu dalam mempertahankan kepimpinan negara ini agar terus diterajui pemimpin beragama Islam dan Melayu.

Katanya, pemimpin sebelum merdeka juga turut mengiktiraf dan bersetuju bahawa kepe­mimpinan negara ini perlu diterajui orang Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah menerangkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu bahasa rasmi dan Sultan sebagai ketua agama.

Secara tidak langsung, kepemimpinan negara mestilah di­terajui pemimpin beragama Islam dan Melayu.

“Kaum lain tidak perlu mempertikaikan dan menjadikannya sebagai isu kerana perkara ini telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, Melayu wajib bersatu mempertahankan walaupun berlainan fahaman politik kerana situasi kini telah berubah disebabkan kita menerima pelbagai ugutan dan ancaman,” katanya.( utusan online) .posted by abnmulya .hj.bakar ninggal.BlogSpot.com.at 1607 hrs on Oktober  09.20015.

No comments: