ANNUAR MUSA
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Dr. Mahathir tersinggung dengan tindakan UMNO yang tidak lagi memberi laluan kepada Mukhriz walaupun beberapa peluang telah diberikan sebelum ini.
“Mukhriz bertanding Ketua Pemuda di peringkat bahagian kalah, tetapi kita terima dia bertanding Ketua Pemuda di peringkat pusat, tidak ada orang kalah di peringkat bahagian boleh melayakkan diri bertanding di peringkat pusat. Dan tidak ada orang yang kalah Naib Presiden boleh jadi Menteri Besar. Maka laluan itu diberikan istimewa, tetapi beliau gagal juga sebagai Menteri Besar.
“Sebab itu sebagai ayah, saya faham Dr. Mahathir kecewa apabila usaha untuk melihat anaknya naik, tetapi gagal dan kekecewaan itu dilepaskan kepada UMNO. Namun saya yakin hati kecil beliau faham apa yang beliau buat. Maka saya rasa biarlah dia dengan cara dia, UMNO boleh uruskan keadaan ini,” kata­nya di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan Dr. Mahathir yang berterusan menye­rang Najib sehinggakan sanggup bersekongkol dengan pembangkang dan musuh-musuh ketatnya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, ramai pihak berasa keliru dengan pendirian Dr. Mahathir ketika ini dan apa yang diperkatakannnya ketika menerajui negara suatu ketika masa dulu menjadi tidak lagi relevan.
Beliau berkata, Dr. Mahathir kelihatan begitu emosional sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan bercanggah dengan prinsipnya sebelum ini yang antaranya berkaitan penolakannya terhadap politik jalanan.
“Mengenali Dr. Mahathir, saya fikir saya tahu cara beliau. Beliau tidak akan berhenti begitu sahaja menyerang Najib, beliau konsisten dalam membuat sesuatu. Kita faham dan telah bersedia dengan pendekatan sedimikian,” katanya.
Annuar menambah, Dr. Mahathir mempunyai hak untuk mengkritik atau mengeluarkan sebarang kenyataan namun kebebasan bersuara itu perlulah digunakan sebaik-baiknya.
“Dulu zaman Dr. Mahathir sendiri kebebasan sebegini memang tidak ada, tetapi zaman Najib diberi kebebasan, Dr. Mahathir nak cakap apa pun diberi kebebasan. Cuma kita perlu ingat rakyat sekarang lebih bijak dalam membuat penilaian sendiri,” ujarnya.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at  1330 hrs on March 31,2016.
<