Pengguna laman-laman sosial menyifatkan, ‘persekongkolan’ itu yang dizahirkan melalui majlis ‘Deklarasi Rakyat’ pada Jumaat lalu tidak wajar dan bertentangan de­ngan amalan demokrasi kerana bertujuan mahu menjatuhkan kepemimpinan negara yang dipilih secara sah melalui pilihan raya.

Mereka juga berasa hairan, ba­gaimana Dr. Mahathir yang sebelum ini dilihat musuh ketat kepada pakatan pembangkang , ‘bersedia memaafkan’ penghinaan dan kecaman yang pernah dilemparkan oleh pemimpin pakatan itu terhadap beliau.

Sehubungan itu, ada antara mereka menganggap apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir, Kit Siang dan Ambiga tidak akan menguntungkan negara, sebaliknya boleh menjejaskan kestabilan politik negara.
Selain itu, apa yang meresahkan sesetengah pihak, tindakan Dr.Mahathir dianggap hanya membuka peluang kepada pakatan pembangkang khususnya, DAP untuk meraih sokongan politik.

Apatah lagi Dr. Mahathir sendiri dalam kenyataan pada majlis tersebut menegaskan, seolah-olah tidak kisah jika DAP memerintah negara ini atas alasan ‘itu hak rakyat’.

Pada pandangan mereka, keadaan itu membuktikan Dr. Mahathir sanggup melakukan apa sahaja, asalkan Perdana Menteri diturunkan.

Mereka juga turut kecewa dengan sikap Dr. Mahathir yang sanggup menjalinkan kesepakatan dengan Ambiga - seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan demonstrasi jalanan melalui perhimpunan haram Bersih.

Bagaimanapun mereka berha­rap, biar pun apa juga isu antara Dr. Mahathir dan Najib , bekas Perdana Menteri itu tidak harus ‘membenarkan’ diri beliau diperalatkan oleh pembangkang atau mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Turut melahirkan kekecewaan yang sama ialah pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) yang menyifatkan tindakan Dr. Mahathir bekerjasama dengan pembangkang se­bagai tindakan mengelirukan.

Ia memandangkan mereka ber­pendapat, jika terdapat apa-apa pandangan mengenai pucuk pimpin­an negara, ia boleh disalurkan melalui cara demokrasi iaitu melalui pilihan raya.

Sementara itu, pemimpin-pe­mimpin UMNO di semua peringkat menggesa pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas ke atas Timbalan Presiden UMNO yang digantung tugas, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kerana menangani ‘Deklarasi Rakyat’ tersebut.

Mereka berpendapat, tindakan tegas perlu diambil ke atas kedua-dua pemimpin itu kerana sudah terbukti, Muhyiddin dan Mukhriz sanggup bersekongkol dengan pembangkang menentang pucuk pimpinan parti sendiri.( uTRUSAN ONLINE).pOSTED BY ABNMULYA //HAJI ABU BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM AT 12.48 NOON ON mARCH 07,2016.