Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tidak lagi ‘bercakap’ berhubung ‘kecurian’ wang itu, tetapi beliau kini sibuk mempersoalkan pula di mana wang itu dibelanjakan.
“Perdana Menteri telah ‘dibicarakan’ secara tidak adil menerusi media dan beliau diletakkan sebagai bersalah dalam mahkamah umum hanya bersandarkan kepada dakwaan semata-mata dan bukannya mengikut bukti. Mana-mana pihak yang membuat fitnah terhadap Perdana Menteri telah berhutang dengannya satu permohonan maaf yang mustahil mereka akan berbuat demikian,” katanya dalam blog beliau, http://sskeruak.blogspot.com hari ini.
Menurut Salleh, WSJ telah memulakan serangan ke atas Najib pada 2 Julai lalu dengan menyiarkan berita bahawa sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Malaysia ketika siasatan ke atas 1MDB sedang berjalan.
Rentetan itu, katanya, media-media tempatan mahupun antarabangsa termasuk blog-blog mula menyerang Najib dengan pelbagai dakwaan tidak berasas sehingga beliau telah dilabelkan sebagai orang yang bersalah dalam isu tersebut melainkan beliau boleh membuktikan tidak bersalah.
Menurut Salleh, WSJ turut memberitahu penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan bahawa Najib telah mencuri duit daripada 1MDB sebanyak RM2.6 bilion itu dan dipindahkan ke akaun peribadinya.
“Menurut apa yang dinyatakan WSJ, siasatan telah bermula sebelum 2 Julai 2015 dan bukannya dimulakan selepas pendedahan yang dibuat oleh pihaknya.
“WSJ juga telah mengesahkan bahawa mereka telah memiliki dokumen yang berkaitan dengan siasatan itu (bermaksud siasatan telah pun dilancarkan sebelum tarikh itu),” katanya.
Salleh berkata, kenyataan itu sekali gus telah menimbulkan keraguan berhubung adakah pendedahan mereka itu berdasarkan siasatan oleh Pasukan Petugas Khas tersebut atau sebaliknya.
Beliau menjelaskan, jika pendedahan dibuat selepas pasukan itu ditubuhkan, maka WSJ telah diberikan dokumen yang tidak berdasarkan apa-apa siasatan tetapi hanya dicipta untuk memfitnah Perdana Menteri.
Katanya, lebih menghairankan apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 4 Julai lalu telah menyatakan bahawa beliau baru sahaja menerima dokumen-dokumen dan hanya menubuhkan Pasukan Petugas Khas pada 8 Julai untuk menyiasat dakwaan itu.
“Jadi di mana WSJ mendapatkan ‘bukti’ dan siasatan mereka dirujuk kepada apa?
“Pada waktu itu, rakyat Malaysia sepatutnya sudah dapat menghidu permainan WSJ, malah laporan WSJ sebenarnya agak samar-samar berhubung keseluruhan isu, tetapi ia dibuat untuk menggambarkan seperti satu kesalahan jenayah,” katanya.
Salleh berkata, sumber asal wang itu tidak jelas dan penyiasatan juga tidak terperinci terhadap apa yang berlaku kepada wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
“WSJ sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku tetapi cerita-cerita yang ditimbulkan bagi memberi gambaran bahawa ia tahu dengan tepat apa yang berlaku,” katanya.(UJtusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 10.00 am April 02,2016..
<