Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian yang berlaku di sana telah memberikan kesan yang amat buruk kepada negara ini dan komuniti ASEAN.
Kata beliau, pihaknya berharap kerajaan Myanmar menyedari desakan itu dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan kekejaman yang tidak berperi­kemanusiaan.
“Bagaimanapun kita tidak sampai ke peringkat putus hubungan diplomatik. Kita beritahu kepada kerajaan Myanmar, kita sebagai sebuah komuniti ASEAN yang mendokong nilai universal dan kemanusiaan sebagai sebahagian daripada asas ASEAN.
“Kita tidak boleh campur ta­ngan dalam urusan dalaman mana-mana negara tetapi kejadian yang berlaku di sana melimpah ruah ke negara kita puluhan ribu, yang mungkin ratusan ribu lagi menunggu (untuk masuk) kalau angkara ini atau penganiayaan berterusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan kerana sejarah akan menghukum jika komuniti ASEAN dan Malaysia hanya pasif dan tidak berbuat apa-apa, walhal banyak manusia mati dengan cara yang paling kejam.
“Bot pelarian dalam skala yang besar menunggu masa untuk masuk dan disebabkan itu
kerajaan mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana rakyat Malaysia rata-rata mahu kerajaan mengambil tindakan tegas dalam hal ini.
“Bukan bererti kita tidak hormat pengurusan kedaulatan Myan­mar tetapi sudah melangkaui nilai universal apabila manusia dizalimi dan mengancam kedaulatan negara kita,” katanya.
Sementara itu, kata Perdana Menteri, kehadirannya bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya esok adalah bukan kerjasama politik antara kedua parti tetapi merupakan persefahaman untuk kebaikan ummah.
“Kami sudah memutuskan dalam isu yang kami mempunyai pendirian yang sama terutama dalam soal ummah dan Islam, Pas dan UMNO boleh bekerja­sama dan ia adalah contoh yang baik untuk kami duduk bersama tetapi tidak bermakna dalam satu gabungan,” katanya.
Mengulas mengenai apakah Pas dan UMNO akan bergabung, beliau berkata: “Terlalu awal untuk cakap apa-apa tetapi saya percaya politik adalah dinamik tetapi ini bukan isu politik, (sebaliknya) isu kemanusiaan, nilai universal dan Islam.”( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar blogspot,com at 2135 hrs on Disember 04,2016.