Thursday, November 30, 2017

Korea Utara Isytihar Negara Kuasa NUKLEAR

Korea Utara isytihar negara kuasa nuklear Selepas berjaya uji balistik Hwasong-15 mampu musnahkan AS 

30 November 2017 3:00 AM 

SEOUL 29 Nov. - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un hari ini menyifatkan negaranya sudah layak digelar sebagai negara kuasa nuklear selepas berjaya melancarkan peluru berpandu terbaharu yang dikatakan mampu menyasarkan mana-mana bahagian di Amerika Syarikat (AS).

Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Hwasong-15 yang dilancarkan itu didakwa mencetuskan cabaran terbaharu kepada Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini berikrar untuk mengekang sebarang pembangunan senjata nuklear oleh Korea Utara.

Kenyataan Jong-un itu dibacakan oleh pembaca berita televi­syen Korea Utara, Ri Chun-hee yang sering dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan sebarang maklumat atau pengumuman penting mengenai negara tersebut.

“Jong-un dengan penuh bangga mengisytiharkan Korea Utara kini mencipta sejarah kerana sudah berjaya melengkapkan siri ujian senjata nuklear. Kejayaan pelancaran Hwasong-15 adalah satu kemenangan untuk semua pihak di negara ini,” katanya.

 Agensi berita KCNA pula melaporkan, sistem Hwasong-15 mempunyai bahan letupan yang tinggi dan mampu membinasakan sasaran seluas tanah besar AS.

Pyongyang memaklumkan peluru berpandu tersebut mampu mencapai altitud 4,475 kilometer dan berupaya meluncur sejauh 950 kilometer dari tapak pelancaran, manakala satu analisis yang dilakukan oleh para saintis AS menyatakan Hwasong-15 mampu meluncur sejauh 13,000 kilometer. 

Dalam pada itu, Trump menyenaraikan kembali Korea Utara sebagai negara yang menyokong keganasan, manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju untuk mengadakan mesyuarat tergempar.

Trump menyatakan bahawa AS akan bertindak berhubung pelancaran peluru berpandu terbaharu itu, namun beliau tidak menjelaskan secara lanjut mengenai tindakan yang bakal dibuat.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson menekankan bahawa pilihan secara diplomatik untuk menyelesaikan krisis dengan Korea Utara masih kekal sebagai ‘terbuka dan masuk akal’.

Selain itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menyifatkan ujian pelancaran tersebut sebagai tiada toleransi serta ganas dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in turut menyelar tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketegangan berhubung siri program senjata nuklear Korea Utara memuncak apabila negara itu melancarkan peluru berpandu buat kali keenam pada September lalu.

Sehubungan itu, China yang merupakan sekutu Korea Utara mencadangkan supaya AS menghentikan latihan ketenteraan di Korea Selatan manakala Korea Utara menghentikan pembangunan senjata nuklearnya.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh AS dan pada minggu lepas, Washington mendedahkan sekatan baharu yang akan dikenakan terhadap Korea Utara melibatkan kegiatan perkapalan negara itu. – AFP( Utusan online phto and beritanya).Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com. at 1752 hrs on November 30,2017.

No comments: