Monday, November 4, 2013

Pelbagai faktor punca kekalahana BN-Mukhriz

Datuk Mukhriz Tun
 Mahathir,Menteri Besar Kedah
JERAI 4 Nov. - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan pelbagai faktor menjadi punca kegagalan Barisan Nasional (BN) menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau daripada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Mukhriz berkata, BN yang mendahului kiraan undi pada peringkat awal akhirnya terpaksa akur apabila undian daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Besar mula dikira.

"Di sini timbul persoalan bagaimana satu PDM seperti Bukit Besar boleh mempunyai jumlah pengundi yang begitu ramai sedangkan yang banyak di situ cuma sekolah pondok sahaja dan jumlah penduduk sekitar ratusan orang. Sejak dahulu lagi, tempat ini sering memberi undi kepada Pas.

"Bukan bermaksud kita persoalkan tetapi masih berlegar dalam pemikiran. Adakah tindakan mendaftar orang luar sebagai pengundi boleh diterima sebagai amalan demokrasi," katanya dalam sidang akhbar di sini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya punca BN gagal mengalahkan Pas apabila calonnya, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 berbanding 12,069 oleh calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat. 

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, penolakan terhadap BN di Bukit Besar oleh pengundi tidak akan dijadikan sebab untuk BN menjauhi kawasan itu, sebaliknya akan terus mendekati pondok dalam usaha menegakkan syiar Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, Mukhriz melahirkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa masjid dalam kawasan ini yang menjemput imam dari luar pada solat Jumaat lepas dan menyampaikan khutbah politik dan mendoakan kemenangan Pas.

"Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati titah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang tidak mahu masjid dijadikan tempat berpolitik," katanya.

Ditanya adakah wujud unsur sabotaj dalam kalangan ahli UMNO sehingga menggagalkan hasrat BN di Sungai Limau, Mukhriz menegaskan perkara demikian tidak berlaku kerana statistik menunjukkan hampir 100 peratus ahli UMNO keluar mengundi.

Sementara itu, Mukhriz berkata, peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN dalam PRK Sungai Limau merupakan perkara positif.

Katanya, BN menerima dengan positif kekalahan parti itu dalam PRK DUN Sungai Limau dan tidak akan meninggalkan pengundi yang telah menyokong BN di kawasan tersebut.

"BN telah berjaya mengurangkan majoriti Pas lebih 1,000 undi dan aspek itu merupakan satu kemenangan baik kepada BN.

"Saya juga pernah sebut sebelum ini, kalah atau menang BN di sini tidak memberi kesan kerana BN masih kekal di Kedah dan saya masih Menteri Besar Kedah," katanya.

Mukhriz berkata, BN juga akan meneruskan dua projek di kawasan Sungai Limau iaitu projek jalan raya antara Guar Chempedak ke Pulau Bunting serta mempertimbangkan pembinaan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting seperti yang dijanjikan kerana parti itu tidak bersikap pilih kasih.

"Kita tetap bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di sini, kita akan teruskan dengan dua projek tersebut," jelasnya.

Ujarnya, kemenangan Pas juga bukan disebabkan calon Pas, Mohd. Azam adalah calon terbaik parti itu. 

"Calon BN, Ahmad Sohaimi dan Mohd. Azam kedua-duanya masih baharu dalam soal politik serta bukan calon 'heavy weight'.

"Mungkin ada unsur lain seperti ideologi politik yang sebabkan calon BN kalah," jelasnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 9.08 am on November 05,2013.

Undi orang Cina meningkat

JERAI 4 Nov. - Undi pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau meningkat antara 60 hingga 70 peratus.

Timbalan Presiden Gerakan, Dr. Cheah Soon Hai berkata, ini terbukti apabila tiga kawasan yang dihuni kaum Cina iaitu di Sungai Limau, Kabu 10 dan Simpang Tiga menang kali ini.

"Jika dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, ketiga-tiga kawasan ini kalah dan disebabkan sokongan kaum Cina pada kali ini, tiga kawasan itu kembali kepada BN," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN di sini hari ini.

Beliau berkata, undi daripada masyarakat Cina itu adalah disebabkan keyakinan mereka terhadap BN untuk membangunkan kawasan Sungai Limau.

"Walaupun BN kalah, namun berjaya mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada BN," ujarnya.(Utusan on line-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.on 8.47 am on November 05,2013

Rasmi : DUN Sungai Limau kekal milik PAS,majoriti merosot

Gambar hari penamaan calon: Dari kiri Dr.Ahmad Sohaimi Lazim calon BN dan sebelahnya ialah calon PAS  Mohd Azam Abd.Samat yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Lumut pada PRK Sungai Lumut ,bertarikh 04 hb.November 2013.

JERAI 4 Nov. - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menyaksikan parti Pas mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 1,084 undi.

Calon Pas, Mohd. Azam Abd. Samat yang mendapat 12,069 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim yang memperolehi undi 10,985 undi.

Bilangan undi majoriti yang diperoleh Mohd. Azam merosot dibandingkan dengan majoriti yang diperoleh bekas ADUN Pas Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Aziz berjumlah 2,774 undi.

Pada pilihan raya itu, Allahyarham Azizan memperoleh 13,294 undi berbanding lawannya daripada BN, Mohd. Fadzillah Mohd. Ali yang memperoleh 10,520 undi.

Perkembangan yang amat memerangsangkan bagi BN pada (PRK) DUN Sungai Lumut ini ialah BN menang sebanyak 10 Pusat Daerah Mengndi (PDM) berbanding PAS hanya 9.

Pada PRU -13 dulu BN hanya menang di 6 PDM sementara  PAS 13.Walaupun PAS dilihat berjaya mempertahankan maruah politiknya di DUN Sungai Limau pada (PRK) ini,tetapi majoriti kemenangan dilihat begitu banyak merosot,begitu merudum sekali.

Ini merupakan petanda politik yang tidak baik,bagi masa-masa yang mendatanag terhadap PAS,di kubu kuat PAS sejak tahun 1995 di kawasan tersebut.

Dengan berjayanya Umno-BN mengurangkan majoriti kemenangan PAS yang begitu merudum di DUN Sungai Limau, pada PRK bertarikh 04 hb.November 2013 itu.

Ianya,sekaligus telah mempamirkan kemenangan moral,kemenangan prestasi politik yang telah dilakarkan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang amat memerangsangkan.

Umno-BN se Malaysia, harus merasa bangga dengan pencapaian politik yang berjaya dilakar oleh Datuk Mukhriz itu,walaupun beliau memegang jawatan Menteri Besar Kedah, belum pun sampai enam bulan.

Datuk Mukhriz dan rakan-rakan seperjuangannya selama dua minggu telah bekerja kuat memecahkan royong di  PRK (DUN) Sungai Limau dan kini beliau telah mendapatkan sagunya.

Walau pun Datuk Mukhriz tidak berjaya merebut kerusi DUN Sungai Limau,tetapi berjaya memerudumkan jumlah majoriti kemenagan PAS dengan teruknya di situ.

Seperti mana di dakwa oleh PAS bahawa kawasan DUN Sungai Limau itu sendiri merupakan satu-satunya kubu PAS yang dikatakan begitu kebal sekali?

Kini ternyata tidak kebal rupanya.Yang Maha Kebal hanya Allah swt.Tiap-tiap yang bahru semuanya tidak kekal abadi.Terdedah luas dengan segala bentuk perubahan.

Pengumuman keputusana (PRK) DUN Sungai Limau itu dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, Abdul Rashid Othman - (Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2234 hrs on November 04,2013.

Sunday, November 3, 2013

Misteri kematian Firaun Tutakhamun didedah

Raja Tutankhamun mati selepas dilanggar oleh kenderaan berkuda yang dipandu laju. - AGENSI

LONDON 3 Nov. - Misteri kematian Firaun terkenal, Raja Tutankhamun selama 3,336 tahun, yang sebelum ini dikaitkan dengan pembunuhan, penyakit kusta atau dipatuk ular, akhirnya terjawab apabila punca kematian sebenarnya didedahkan oleh satu kajian terbaharu.

Mumia Raja Tutankhamun yang ditemui kira-kira 91 tahun lalu oleh pakar arkeologi Britain, Howard Carter di Lembah Raja, Mesir, menunjukkan Firaun itu mati akibat dilanggar oleh kenderaan berkuda yang dipandu laju.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Kajian Masyarakat Mesir, Dr. Chris Naunton selepas beliau membaca nota Howard yang tidak pernah disiarkan kepada umum.

Naunton menggunakan teknologi terbaharu untuk 'mewujudkan semula' kematian Raja Tutankhamun atau dikenali sebagai Raja Tut, dan kisah kematiannya dijadikan siri dokumentari yang bertajuk 'Tutankhamun: The Mystery Of The Burnt Mummy', yang akan disiarkan pada 10 November ini.

Beliau turut menjalankan kajian terhadap daging Raja Tut, yang didapati menjadi hangus, dipercayai dibakar sebelum dimasukkan ke dalam keranda.

Pemeriksaan lanjut oleh Naunton bersama pakar forensik mendapati kecederaan Raja Tut menyerupai luka akibat dilanggar sesuatu yang berat dan beroda seperti digunakan oleh kenderaan berkuda.

Pada 1968, seorang jurugambar dari Universiti Liverpool mengambil 50 gambar X-ray mumia tersebut yang menunjukkan bahagian tengkorak Raja Tut pecah, menyebabkan pakar membuat kesimpulan raja itu mati akibat dibunuh.

Namun, teori yang berlarutan hampir empat dekad itu akhirnya terungkai, apabila Nounton mendedahkan bahawa kecederaan yang dialami di dada Raja Tut adalah akibat dilanggar.

Malah tulang rusuk sebelah kiri raja berkenaan juga didapati patah, selain kekurangan satu tulang dada dan jantung.

"Raja Tut dilanggar kenderaan berkuda dengan kelajuan yang tinggi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk yang menjadi punca sebenar kematiannya," katanya. - AGENSI( Utusan online-luar negara).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1531 hrs on November 04,2013.

Karisma Mukhriz mungkin beri kejutan di Sungai Limau esok

OLEH MD IZWAN
NOVEMBER 03, 2013 

Walaupun PAS yakin mempertahankan kubu kuatnya di Sungai Limau, kehadiran Datuk Mukhriz Mahathir dengan jentera yang lebih sistematik pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini berkemungkinan mengubah keputusan esok.

Penulis masih terkenang ketika corak berkempen Menteri Besar Kedah itu di Ayer Hitam semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Strategi sama diterjemahkan pada PRK Sungai Limau, dibantu jentera kempen dari seluruh negara yang berkampung sejak dua minggu lalu disini.

"Kali ini jentera lebih sistematik kalau nak dibandingkan dengan dahulu.

"Seluruh negara turun berkempen dan memberi suntikan kepada jentera Barisan Nasional (BN) kali ini," kata Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, bekas pengerusi perhubungan Umno negeri Kedah, kepada The Malaysian Insider.

Semasa PRU13 lalu, Mukhriz (gambar kanan) banyak menganjur program-program berbentuk karnival dan pesta di Ayer Hitam.

Ia adalah sama di Sungai Limau untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.

Faktor populariti Mukhriz di kalangan pengundi muda juga tidak ditolak sebagai penyumbang kejayaan BN merampas negeri Kedah daripada PAS.

Malah penentu kemenangan parti bertanding di Sungai Limau juga bakal ditentukan oleh hampir 11,000 pengundi muda.

"Sama seperti PRU13 lalu, populariti Mukhriz di kalangan orang muda sangat hebat.

"Kalau dilihat dalam program-program yang dianjurkan BN kali ini, sokongan pengundi muda sangat memuaskan," kata Ahmad Bashah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Strategi penganjuran program-program tersebut dilihat berkesan dalam mendekati pengundi muda di Sungai Limau.

Tinjauan wartawan The Malaysian Insider di salah satu lokasi karnival berdekatan kubu kuat PAS di Bukit Besar tidak pernah lekang dengan pengunjung, khususnya golongan muda.

"Ini kali pertama saya dapat rasakan kemeriahan macam ini di Sungai Limau.

"Sebelum ini Sungai Limau tenang dan agak bosan, tapi karnival-karnival macam ini bagi kampung kami meriah dan banyak aktiviti," kata Azhar Ramli, 27, semasa ditemui di karnival di sebuah sekolah berhampiran Bukit Besar.

Rakannya Riduan Rahmat, 26, berkata harapan anak muda hanya satu, iaitu ingin melihat pembangunan seperti di Gurun dan Guar Chempedak dapat dibawa sama ke Sungai Limau.

"Kalau kita tengok Gurun dan Guar Chempedak, walaupun bersebelahan, mereka lebih maju dari Sungai Limau.

"Tak banyak yang kami minta, cuma bangunkan Sungai Limau supaya tidak ketinggalan dengan kawasan lain," kata beliau.

Penganalisis politik dari UiTM, Profesor Shaharuddin Badaruddin, melihat kemenangan kepada Mukh

"Jika BN menang, ia pasti memecahkan dinding psikologi dan Mukhriz pastinya akan dipuji.

"Secara peribadi, saya rasa ia sangat penting untuk Mukhriz memastikan beliau boleh memperbaiki prestasi BN bukan hanya untuk memperbaiki imejnya tetapi juga membuktikan sesuatu kepada penyokongnya selepas tewas dalam pemilihan Umno," kata Shaharuddin.

Jalan-jalan kampung yang kebiasaannya lenggang tanpa kenderaan dibanjiri dengan kereta mewah dan besar berjenama Audi, Mercedes, Range Rover dan BMW tidak putus-putus masuk ke dalam kampung.

Pesawah Jamaluddin Yusof, 43, yang membesar di Dulang Besar, mengganggap kehadiran orang ramai kali ini menghidupkan suasana kampung yang suatu ketika dahulu sunyi.

"Kali terakhir macam ini adalah 28 tahun dahulu, ketika saya mengundi buat kali pertama dahulu.

"Dah lama tak rasa macam ini, gembira dapat tengok pemimpin negara dan orang luar yang keluar masuk ke sini," kata Jamaluddin yang teruja dengan kemeriahan sepanjang tempoh berkempen PRK di Sungai Limau berjalan.

Bagi calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mengganggap bantuan jentera daripada seluruh negara yang membantunya pada PRK kali ini menunjukkan ukhwah yang terjalin dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya kali ini.

"Saya berterima kasih kepada semua yang datang membantu, ini menunjukkan satu ukhwah yang kuat di dalam BN," kata beliau.

Selain faktor populariti, strategi Mukhriz yang mengambil pendekatan "sentuhan peribadi" untuk merapati penduduk sekitar juga akan memberikan impak yang besar pada PRK kali ini.

Keputusannya bermalam di rumah salah seorang nelayan di Kampung Seberang Tandop, kampung yang terkenal dengan penyokong PAS tegar juga meresahkan jentera lawan yang bergantung kepada pengundi "setia" pada PRK di Sungai Limau ini.

"Kelam-kabut lah," kata sumber dalaman parti PAS kepada The Malaysian Insider. Dua hari sebelum membuang undi, tempoh berkempen yang tenang tiba-tiba dicemari dengan insiden menggantung replika kaki dipotong di Bukit Besar, kawasan berhampiran kubu kuat PAS.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata sekiranya PAS tewas di Sungai Limau, kesan yang lebih besar akan menimpa parti tersebut yang bakal menghadapi pemilihan parti tidak lama lagi.

"Jika PAS tewas, ia akan menjadi satu kejutan kepada parti. "Pemimpin PAS dan ahlinya pasti akan jatuh moral mereka, ini akan menjadi lonjakan psikologi kepada BN," kata beliau.

Pesuruhjaya PAS negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang mengakui cabaran besar pada PRK kali ini, berkata kemenangan majoriti lantai 500 undi adalah sesuatu yang sudah baik untuk mereka.

Seramai 27,222 pengundi di Sungai Limau akan membuang undi pada esok hari bagi memilih wakil rakyat mereka. Kerusi Dewan Undangan (DUN) Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Razak meninggal dunia pada 26 September lepas.

Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.

Pada PRU13 lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau bagi penggal kelima berturut-turut dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.(The Malaysian Insider).Posted bya abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.cxom.at 2358 hrs.on November 03,2013.

TPM Yakin BN Mampu Tawan DUN Sungai Limau

MUHYIDDIN Yassin menghadiri taklimat persiapan jentera pilihan raya BN bersama Mukhriz Tun. Dr. Mahathir di Bilik Gerakan BN Sungai Limau, Yan, hari ini. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR  

JERAI 3 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) akan mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pilihan raya kecil kawasan itu, esok.

Katanya, jentera BN sudah berjaya menyakinkan pengundi berhubung dasar perjuangan kerajaan dan apa matlamat BN untuk menang selain mahu membantu supaya kawasan Sungai Lima dapat dibangunkan.

"Kita tidak kira sesiapa, kalau jadi pengundi mereka akan terus dibantu…berilah peluang kepada calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim kerana kita sudah dapat kepastian daripada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir bahawa beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada wakil rakyat baru BN itu supaya kawasan ini tidak terus tertinggal,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis taklimat tertutup jentera BN di Bilik Gerakan BN di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau yakin angin sudah meniup ke arah BN berikutan kejayaan jentera parti itu menembusi semua kubu-kubu Pas.

"Dalam pertemuan kita dengan penduduk di kawasan tersebut, ia memberi keyakinan bahawa mereka akan membantu kita. Mereka tertarik dengan kesungguhan dan keikhlasan BN,'' katanya.

Mengenai pengundi Cina, beliau berkata, sudah ada tanda-tanda positif kaum itu ke arah membantu BN.

"Ini perkara utama yang kita lihat dan berdasarkan kepada faktor itu insya-Allah, kita boleh mencapai kejayaan," katanya.

Ditanya berhubung kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan parti itu akan menang dalam majoriti sekitar 500 undi, Muhyiddin berkata, BN juga mempunyai angka tersendiri berdasarkan kajian di peringkat akar umbi.

"Tetapi saya telah beritahu jentera dalam tempoh beberapa jam sehingga habis pembuangan undi esok, ia adalah tempoh paling kritikal, kita minta mereka terus bekerja keras untuk berjumpa pengundi sehingga tengah malam ini,'' katanya.

- UTUSAN ONLINE-POLITIK.(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2342 hrs on November 03,2013.

Saturday, November 2, 2013

Kalimah Allah : Peguam Muslim beri amaran kepada majlis peguam

OLEH DIYANA IBRAHIM 
NOVEMBER 02, 2013

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya tidak meneruskan hasrat untuk menyokong rayuan semula kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, Herald atau mereka yang berbuat demikian bakal berdepan dengan tindakan. 

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar kiri), berkata Majlis Peguam dilihat selalu mengambil langkah yang bertentangan dengan kepercayaan umat Islam di negara ini dan PPMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mereka masih berdegil.

"PPMM yang juga sebahagian daripada ahli Majlis Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya keputusan Mahkamah Rayuan.

Maka, persatuan kita membantah tindakan bercanggah oleh Majlis Peguam berkenaan dengan isu penggunaan kalimah Allah.

"Majlis Peguam selaku badan eksekutif yang mewakili semua peguam di Malaysia dengan ahlinya terdiri daripada peguam Islam dan bukan Islam harus melupakan hasrat tersebut. Dalam keadaan ini kita mengingatkan Majlis Peguam untuk tidak mengambil apa-apa pendirian partisan mengetepikan sensitiviti beribu-ribu ahli peguam Islam di Malaysia,” katanya.

Zainul berkata demikian ketika mengulas kenyataan Majlis Peguam yang menyatakan pendirian untuk mempertimbangkan rayuan semula kes pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald. 

Kenyataan yang disiarkan akhbar bahasa Inggeris The Sun pada 30 Oktober lalu turut merujuk hasrat Majlis Peguam itu mengikut langkah Persatuan Peguam Sabah (SBA) yang menentang keputusan Mahkamah Rayuan behubung isu pengunaan kalimah Allah.

Ia turut mendapat tentangan penduduk Kristian di Sabah dan Sarawak apabila menyatakan mereka menggunakan perkataan Allah sejak berkurun lamanya dari zaman nenek moyang mereka.

Menjelaskan mengenai kekeliruan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan Mahkamah Rayuan hanya untuk akhbar Herald dan kerajaan tidak akan menyekat penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata, larangan Herald daripada menggunakan Allah adalah perlu untuk menjaga ketenteraman awam dan keharmonian negara dengan alasan Herald adalah akhbar yang tersebar luas.

Herald dicetak 14,000 naskah setiap minggu dan diedarkan melalui gereja. Dalam wawancaranya dengan Reuters di London, Najib berkata:

"Semua perlu faham ada hal yang sensitif di Malaysia, tetapi yang terlebih penting adalah ketenteraman awam dan keharmonian negara." – 2 November,2013.(The Malaysian Insider).Posted by bnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 7.05 am on Novemeber 03,2013.