Thursday, May 8, 2014

Hasil didikan Anwar Ibrahim

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN 
rodelio.taucan@utusan.com.my 
Dari kiri:Tunku Abdul Azizi,Fairus

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pelbagai bantahan yang dibuat oleh pemimpin bawahan sehingga menyebabkan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecoh merupakan cerminan daripada keperibadian dan hasil didikan pemimpin utama mereka yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin berkata, PKR kini sedang ‘menuai’ hasil daripada contoh yang ditunjukkan Anwar apabila ahli-ahlinya turut dibakar dengan sifat kebencian dan sentiasa tidak berpuas hati sekiranya keputusan yang dibuat tidak seperti diharapkan. 

Katanya, perjuangan menegakkan pluralisme agama dan liberalisme juga menyebabkan ahli-ahli PKR tidak lagi berjuang berlandaskan jiwa Melayu yang kaya dengan kesopanan sebaliknya mereka seolah-olah sudah tidak bermoral apabila kerap menggunakan perkataan berunsur hasutan dan makian terhadap sesama sendiri.

"Saya sentiasa memantau dan melihat perkembangan terkini ‘parti khianat rakyat’ itu, atas dasar mereka yang tidak memperjuangkan rakyat jadi tidak hairanlah apabila kacau-bilau berlaku di peringkat pengurusan bawahan.

"Atas nama kesaksamaan mereka sanggup berperang termasuk antara rakan-rakan sendiri, parti itu semakin hilang pedoman dan hanya wujud atas kepentingan Anwar yang cuba memecah-belah rakyat, jadi apa yang berlaku ini adalah didikan Anwar," katanya yang juga bekas Setiausaha Pembangunan Integrasi Nasional PKR ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Proses pemilihan PKR di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang diisytihar sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula.

Antaranya di Pulau Pinang, melibatkan Cabang Nibong Tebal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan pengerusi negeri.

Insiden di Pulau Pinang tidak hanya terhenti di situ kerana di Cabang Balik Pulau, proses pengundian bertukar panas apabila perbuatan kempen dan ‘mencuri pengundi’ di bilik mengundi menimbulkan rasa tidak puas hati para penyokong sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran yang hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk.

Di Sabah, tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh dan tidak terkawal menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR cabang berkenaan, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat serta pemilihan dibatalkan. 

Sementara itu bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin PKR mencermin diri sendiri serta melihat tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan selama ini dan membandingkannya dengan situasi yang dihadapi sekarang.

Menurutnya, bukan sahaja PKR malah DAP juga sepatutnya malu dengan insiden yang berlaku selepas rakyat kini dapat menilai sendiri kemampuan pemimpin-pemimpin pembangkang yang sentiasa menganggap diri mereka yang betul.

"Hakikatnya mereka terlalu cepat menuduh kerajaan, mereka suka sangat menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai (SPR) sebagai menipu tetapi akhirnya pemilihan parti yang kecil pun gagal diuruskan dengan baik.

"Sekarang mereka sudah tahu lebih mudah membuat tuduhan melulu tetapi akhirnya sendiri gagal jadi saya nasihatkan supaya perbetulkan diri sendiri dulu sebelum ambil tahu mengenai orang lain," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.48 am on Mei 09,2014.

Joseph Entulu mohon maaf

KUALA LUMPUR 8 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran laporan mengenai pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam Kabinet namun tiada sebarang keputusan dibuat. Katanya, laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan tidak mencerminkan kenyataan sebenar dibuat beliau semalam.

"Laporan yang tidak tepat ini telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Namun begitu, saya memohon maaf atas kekeliruan yang timbul," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam, Joseph Entulu dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan jika tidak memberi nilai tambah.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.00am on Mei 09,2014.

Sunday, May 4, 2014

Pemilihan PKR seluruh negara kecoh

Pemilihan Ketua Cabang PKR bagi Daerah Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam kecoh selepas keputusan undian dibatalkan akibat undian melebihi sebanyak 167 undi. - GAMBAR IHSAN NST 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang diisytiharkan sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula.

Di Pulau Pinang, pemilihan di Cabang Nibong Tebal diisytiharkan tidak sah dan batal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam perlumbaan tiga penjuru untuk merebut jawatan Pengerusi negeri. 

Walaupun bilangan pengundi berdaftar untuk mengundi hari ini adalah 672, Jawatankuasa Pemilihan terkejut apabila mendapati sejumlah 838 kertas undi dikumpul pada akhir proses pengundian yang berlangsung di Dewan JKKK Simpang Tiga tersebut.

Difahamkan, pengundian semula akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak di luar Nibong Tebal.

PKR Cabang Nibong Tebal mem­­punyai seramai 3,692 ahli berdaftar. Dalam pada itu, proses pengun­dian di Balik Pulau yang pada awalnya kelihatan tenang bertukar panas apabila perbuatan kempen dan 'mencuri pengundi' di bilik mengundi telah menimbulkan rasa tidak puas hati para penyokong.

“Tindakan seorang calon memasuki kawasan pengundian menyebabkan berlaku satu pertengkaran yang hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk.

“Insiden-insiden yang berlaku semasa pemilihan PKR ini sa­ngat memalukan terutama kepada kepemimpinan PKR yang sebelum ini tanpa malu mempersoalkan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," seperti dipetik daripada blog Dr. MiM.

Menurut blog itu lagi, apa yang berlaku boleh disifatkan sungguh memalukan dan sudah pasti membuka mata rakyat tentang wayang kulit dan ketidakmampuan PKR untuk menguruskan pemilihan parti sendiri sama seperti DAP.

Sementara itu, di Sabah, tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh.

Sekretariat pemilihan PKR pe­ringkat negeri turut dipersalahkan kerana gagal menyediakan kertas undian yang mencukupi sehingga menyebabkan tercetusnya kejadian kekecohan dalam pemilihan itu.

Kekurangan kertas undian itu menjadi punca mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom berlangsung dalam suasana tegang, sekali gus memaksa proses pemilihan ditangguhkan.

Ratusan perwakilan meluahkan rasa marah dan menyalahkan pihak sekretariat negeri kerana kumpulan perwakilan tersebut gagal melaksanakan hak mereka untuk mela­kukan undian apabila hanya 300 kertas undian diedarkan.

Keadaan tidak terkawal yang berlaku itu menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR Cabang Tenom, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat dan pemilihan dibatalkan, selain mendakwa pihak terbabit tersalah mengira bilangan perwakilan di kawasan tersebut.

“Kami hanya menerima 300 kertas undian sedangkan jumlah perwakilan di cabang ini adalah 2,000 orang. Semua kertas undi tersebut dimusnahkan di hadapan perwakilan yang bersaing untuk mengisi pelbagai kedudukan dan jawatan bagi Ahli Jawatankuasa Cabang Tenom," kata­nya.

Dalam pada itu, proses awal pemilihan yang berlangsung di Cabang Sepanggar, turut berlaku sedikit kekecohan apabila dewan yang menjadi pusat pemilihan tidak diuruskan dengan baik ekoran tiada penunjuk arah kepada perwakilan untuk membuat undian.

Ketiadaan petugas pemilihan PKR mengawal kemasukan perwakilan di pintu masuk menyebabkan orang ramai menyerbu dan memaksa petugas Rela berada dalam dewan bagi mengawal situasi.

Di Perak, calon bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Lumut meluahkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan proses pengundian.

Laksamana Pertama (B), Muhammad Imran Abdul Hamid yang juga Ahli Parlimen Lumut mendakwa, proses tersebut berjalan tidak teratur apabila para pengundi tidak diberikan Buku Panduan Pengundian Pemilihan Parti 2014 sebagai rujukan semasa mengundi.

Situasi sama berlaku di Kedah apabila calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani, S. Arvind Kumar mendesak proses pengundian dilakukan semula kerana tidak berpuas hati berikutan namanya tidak disenaraikan sebagai calon sehingga memberi kemenangan percuma kepada seorang lagi calon, Simon Ooi.(Utusan onlinbe-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.21 am on Mei 05,2014.

Hudud :DAP ,PKR harus terima hakikat

Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) di kediamannya di Pulau Melaka, Kelantan, semalam. - MINGUAN/AZRAN FITRI RAHIM 

KOTA BHARU 3 Mei - DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mene­rima hakikat hukum hudud akan dilaksanakan di negeri ini kerana rakyat telah memberikan mandat kepada Pas sejak lima penggal lalu. 

Naib Presiden Pas, Datuk Tu­an Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sedar kebimbangan DAP dan PKR ke atas sokongan rakyat terhadap pakatan pembangkang akan berkurangan namun rakyat di negeri ini telah memberikan kepercayaan kepada Pas memerintah kerana janji parti itu untuk melaksanakan hudud.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan hubungan ketiga-tiga parti tersebut malah Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat tiga hari lalu bersepakat untuk bersama dalam mengurus isu tersebut tanpa menjejaskan komitmen dalam gabungan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO dan empat ahli komponen Barisan Nasional (BN) sudah cukup untuk memastikan rang undang-undang persendirian yang dibentangkan di Dewan Rak­yat nanti diluluskan.

"Bukan empat kerusi sahaja yang kita mahu, kita memerlukan semua sokongan PKR dan DAP termasuk daripada UMNO, apa yang penting komitmen wakil rakyat Islam.

"Mungkin rakan-rakan wakil rakyat DAP Islam mahu sokong, itu hak Ahli Parlimen, bagi Pas kita mahu semua muslim dan bukan muslim, semua ini adalah bertujuan untuk atasi jenayah," katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com at 11.07 am on Mei 05,2014

' MACAM SUDAH BOLEH BACA'

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my

Tunku Ismail Sultan Ibrahim Johor Bahr 
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih enggan menyatakan pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau tidak pada pemilihan 25 Mei ini kerana beliau percaya, apa yang bakal berlaku seakan sudah boleh dibaca.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, beliau kurang berminat untuk bertan­ding kerana bagaikan sudah dapat menjangka keputusan pemilihan tersebut.

“Bukan saya ingin tarik diri, cuma tidak berminat kerana tahu apa yang akan terjadi nanti. Sebab itulah saya tidak berharap sangat dan terhegeh-hegeh untuk menjadi Presiden FAM sebaliknya mengutamakan perkembangan bola sepak negeri Johor.

“Saya juga tahu, tidak ramai orang lama dalam FAM yang mahukan saya ada dalam persatuan," katanya pada majlis memperkenalkan pemain import baharu JDT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini semalam.

Menurut Tunku Ismail, ramai yang mengatakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah paling layak meme­gang jawatan berkenaan kerana lebih berpengalaman dalam memimpin badan induk bola sepak Malaysia itu.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa pe­ngalaman bukan kriteria utama, sebaliknya sikap dedikasi merupakan lebih mustahak dalam membawa perubahan kepada kemajuan bola sepak negara. “Saya setuju saya masih muda dan banyak perlu belajar.

Namun pada pandangan saya, bukan dari segi pengalaman tetapi dari dedikasi dan pengorbanan itu lebih mustahak. “Jika masih dipegang oleh barisan pengurusan tertinggi FAM yang sama, ia tidak akan memperlihatkan sebarang perubahan," kata beliau lagi.

Ujar Tunku Ismail lagi, jika di­pilih sebagai Presiden FAM, beliau akan berusaha membawa perubahan besar dalam perkembangan bola sepak tanah air.

"“Kita akan lihat pembangunan akademi, kita akan tengok pengadilan yang profesional, menyediakan peruntukan yang mencukupi dan memberi fokus dalam meningkatkan standard kemudahan sukan bola sepak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kehadiran pada pemilihan tersebut, beliau menyatakan ia bergantung kepada situasi pada waktu itu. “Tengoklah keadaan macam mana. Kalau saya pergi, saya pergi...

"Kalau saya tidak pergi, saya tidak. Saya tak boleh bagi jawapan yang tepat apa yang saya akan buat," katanya lagi.( Utusan online -suklan tempatan).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.48 am on  Mei -05,2014.

Friday, May 2, 2014

Hudud : Setuju tubuh jawatankuasa teknikal



Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN 
rodelio.taucan@utusan.com.my Jamil Khir 

Menteri di Jabatan Perdana
Menteri,Datuk Seri Jamil Khir Bahrom
KUALA LUMPUR 2 Mei - Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan sepakat menubuhkan satu jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa tersebut yang akan dibentuk tidak lama lagi berperanan mengkaji peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memberi penerangan kepada semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam mengenai pelaksanaannya.

Menurut beliau, keanggotaannya masih belum diputuskan namun mengesahkan ia tidak melibatkan pemimpin politik manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dilantik sebagai urusetia.

“Kita melihat jenayah syariah Islam ini dapat dilaksanakan dengan bukan hanya sekadar pelaksanaan tetapi mengambil kira juga kebijaksanaan dan juga keadilan bagi umat Islam dalam pelaksanaannya.

“Kita juga mengambil kira peruntukan Perlembagaan dan masyarakat bukan Islam yang berada di Malaysia supaya keindahan jenayah syariah Islam ini dapat menjadi satu titik permulaan yang begitu baik bukannya tomahan atau sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyampaikan hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum syariah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan kerja ke Kelantan pada 27 April lalu mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal khas mengenai hudud membabitkan wakil Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan.

Menurut Muhyiddin, menerusi perbincangan dalam bentuk lebih sistematik, hudud dapat dikaji dengan teliti sekali gus membantu semua pihak melihat situasi sebenar sebelum memutuskan untuk membawa usul mengenainya ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawantakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II 1993 negeri Kelantan berkata, kunjungan beliau juga bagi membincangkan mengenai perkara dan langkah-langkah yang boleh diambil terhadap penubuhan jawatankuasa itu.

“Kami telah berbincang beberapa langkah dan perkara dan kunjungan saya pada hari ini ialah menyatakan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Persekutuan tentang hasrat serta cadangan-cadangan kami.

“Bila Pusat berhasrat mewujudkan jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan maka kami menyambut baik cadangan itu dan mudah-mudahan ini boleh membantu dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan," katanya.(Utusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.06 am on Mei 03,2014.

PAS Kelantan bidas Teresa Kok



Kiri Teresa Kok,,ohd Amar
KOTA BHARU 2 Mei - Kerajaan Pas Kelantan membidas Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok kerana membuat kenyataan kononnya pelaksanaan hukum hudud di negeri ini hanya untuk menarik sokongan orang Melayu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu adalah perjuangan Pas sejak dahulu malah perkara itu terkandung dalam manifesto pilihan raya. 

Beliau berkata, pihaknya wajib melaksanakan hukum Allah itu tambahan pula rakyat telah memberikan kepercayaan sejak 20 tahun lalu kepada Pas untuk memerintah negeri ini.

“Dia kata kita hendak tarik undi orang Melayu, dia pula tidak sokong hudud sebab takut undi Cina hilang. 

"Soalnya, Pas berjuang untuk menegakkan Islam dan berusaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam sejak dahulu lagi malah terkandung dalam manifesto pilihan raya kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, selepas mengadakan pertemuan dengan Mohd. Amar, Teresa mengeluarkan kenyataan bahawa Pas ingin melaksanakan undang-undang Islam itu bagi mengelakkan kehilangan sokongan Melayu.

Ekoran daripada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keikhlasan Pas dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan sama ada benar-benar berlandaskan Islam atau sekadar meraih sokongan politik.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan berkata, rakyat pasti akan tertanya-tanya kenapa pihaknya tidak melaksanakan hudud selepas UMNO telah memberikan ruang.

“Rakyat memberi kepercayaan kerana janji kita untuk melaksanakan hudud, kalau kita berusaha dan dalam keadaan UMNO memberi ruang tentu rakyat akan menilai kembali sokongan yang diberikan kepada kita. 

"“Mereka akan kata kami sokong Pas beberapa penggal tiba-tiba tidak buat hudud, selama ini kita kata UMNO halang tetapi UMNO sudah buka pintu, maka rakyat pasti tertanya-tanya," katanya.

Katanya, tidak timbul isu keikhlasan kerana hudud adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Kerajaan Pas Kelantan akan terus memberikan penerangan berkaitan hudud kepada sekutu pembangkang, Mohd. Amar berkata, pihaknya bersedia pada bila-bila masa.

"“Itu bergantung kalau DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu. Pertemuan baru-baru ini adalah inisiatif Pas pusat dan kita tidak ada masalah, bersedia untuk memberikan penjelasan," katanya.

Tambahnya, persedian untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini pada tahun depan berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

\Malah katanya, Kerajaan Pas Kelantan menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya sebuah jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud ditubuhkan di peringkat kebangsaan.(Utusan on line-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.54 am on Mei 03,2014.