Friday, October 12, 2012

Safee Sali tidak digantung

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com

Safee Sali
KUALA LUMPUR - Tidak sampai 24 jam selepas laporan Safee Sali tidak dibenarkan beraksi pada peringkat antarabangsa ekoran kemelut liga bola sepak Indonesia, semalam pengurus pemain itu, Zakaria Rahim tampil menafikan berita tersebut.

Zakaria menjelaskan, tidak wujud sama sekali isu Safee digantung kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak pernah mengenakan denda ke atas pegawai dan pemain dari 32 pasukan yang beraksi dalam Liga Super Indonesia (ISL) seperti yang didakwa.

Menurutnya, pengesahan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay ketika dia menemui pegawai AFC itu semalam. Malah, katanya AFC mengesahkan Safee tiada masalah untuk menyarung jersi kebangsaan.

"Saya menemui Alex di Rumah AFC dan pihaknya tidak tahu menahu mengenai surat yang dihantar oleh PSSI kepada FAM. Malah belum ada sebarang makluman daripada FIFA bahawa PSSI sedang digantung. "FIFA juga tidak pernah memberikan arahan menggantung 32 kelab di Indonesia yang didakwa PSSI," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas menemui AFC, Zakaria juga mendapatkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagi memberi penjelasan sebenar perkara tersebut.

"Saya hormati pandangan Azzuddin kerana beliau membuat kenyataan kelmarin disebabkan tidak mahu mengambil risiko menggunakan khidmat Safee.

"Beliau tidak mahu pemain kita terperangkap dengan mainan pihak lain. "Safee sudah mendapat lampu hijau untuk berlatih petang ini (semalam) dan boleh beraksi bagi perlawanan persahabatan dengan Hong Kong tidak lama lagi, " katanya.

Dalam dalam laporan kelmarin, FAM menyatakan PSSI melalui Setiausahanya, Halim Mahfudz telah menghantar surat bahawa pemain dan pegawai dalam kalangan 32 pasukan yang digantung tidak dibenarkan bermain di peringkat antarabangsa.

Masalah Safee hanya boleh diselesaikan apabila mesyuarat kongres PSSI pada Disember ini bagi mendapat kata sepakat dengan Komiti Sepakbola Seluruh Indonesia (KPSI). PSSI dan KPSI, dua badan bola sepak Indonesia yang bertelagah pernah menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) di Rumah AFC 20 September lepas bagi menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak tahun lalu.(Utusan online-sukan tempatan).Posted by abnmulya at 7.33 am on Oktober 13,2012.

No comments: