utusankelantan@utusan.com.my
Norsharul Idlan Tahala atau Mat Yo |
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dikhabarkan perlu membayar lebih RM1 juta sekiranya masih berminat mendapatkan khidmat penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala atau Mat Yo.
Menurut sumber, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan bersedia 'melepaskan' Norshahrul Idlan sekiranya PBNJ sanggup menebus kontrak pemain berkenaan.
Menurut sumber itu lagi, nilai tersebut disifatkan amat berpatutan selepas KAFA membuat pelaburan yang besar untuk mengilap bakat pemain tersebut sehingga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 100 Plus-Arena-FAM, sekali gus mencipta hatrik bagi kategori tersebut sejak 2010.
"Sekiranya perpindahan ini berlaku, saya difahamkan ia akan menjadi sejarah baharu bola sepak negara di mana yuran perpindahan pemain yang tertinggi setakat ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Aksi memukau yang dipamerkan oleh Norshahrul Idlan, anak jati kelahiran Besut, Terengganu, ketika membantu Kelantan menjulang kejuaraan treble musim ini telah memikat pihak pengurusan PBNJ untuk memperkuatkan cabaran Johor.
Kelmarin sebuah akhbar tempatan melaporkan PBNJ bersedia membayar baki kontrak pemain tersebut yang khabarkan bernilai hampir RM1 juta dan tidak akan berputus asa bagi mendapatkan tonggak kebangsaan ini.
Utusan Malaysia 28 Oktober lalu melaporkan, KAFA tidak membenarkan hasrat penyerang sensasi negara itu berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.
Johor sebelum itu berjaya mendapatkan tiga tonggak kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Zaquan Adha Abdul Razak dan Azmi Muslim dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mengikat penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008, Daniel Gonzales Guiza.
Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail ketika diminta mengulas mengenai isu ini berkata, pihak persatuan sedang mengkaji terma-terma kontrak dengan pemain Norshahrul Idlan yang akan tamat pada penghujung musim depan.
Menurutnya, keputusan sama ada untuk melepaskan pemain tersebut akan dibuat oleh pihaknya selepas membuat penelitian secara mendalam berhubung perkara berkenaan. "Setakat ini Muhammad Ramzul Zahini Adenan akan dilepaskan ke Selangor, manakala Nurul Azuan Roya masih dalam perbincangan kerana kontraknya akan tamat pada penghujung November ini.
"Begitu juga dengan S. Chanturu dia masih belum membalas surat KAFA, berdasarkan terma kontrak jika dia tidak membalasnya kami beranggapan dia bersetuju untuk bersama dengan Kelantan," katanya. Dalam pada itu, Rosmadi memberitahu, pihaknya tetap membuat persiapan bagi mengharungi saingan musim hadapan termasuk kemungkinan memancing dua pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Khyrill Muhaymeen Zambri.(utusan online-sukan).Posted by abnmulya at 11.56am on Nov 2012.
No comments:
Post a Comment