![]() |
| Ketua Pergerakan Pemuda Umno,Khairy Jamaluddin |
Beliau berkata, cadangan tersebut tidak perlu kerana boleh menyebabkan isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah dipolitikkan, sekali gus menimbulkan perbalahan antara pembangkang dan kerajaan.
"Pihak pembangkang tidak berminat untuk mencari jalan penyelesaian sebaliknya ingin memanjangkan masalah ini demi kepentingan politik mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Tahlil untuk Pewira yang terkorban di Sabah, anjuran Pemuda UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Khairy berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu keselamatan di Sabah.
Misalnya, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Presiden Barack Obama, tidak mengadakan perbincangan Kongres mengenai gerakan operasi menangkap Osama bin Laden, pengganas paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat.
"Obama dari parti Demokrat tidak memanggil pihak Republikan untuk membincangkan strategi ketenteraan sebelum melaksanakan operasi tersebut sehingga berjaya membunuh Osama," katanya.
Pada majlis tahlil itu, Khairy turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu yang diuruskan oleh Media Prima Berhad.
Terdahulu, Anwar, ketika membuat cadangan itu pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, berkata beliau akan mengemukakan surat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk seri Tun Razak dan Speaker agar sidang khas itu dapat diadakan dengan segera.
"Ia amat penting bagi mendapat muafakat di antara semua anggota Parlimen dan parti serta dapat menghentikan tuduh-menuduh sesama sendiri," katanya.
Di KOTA BHARU, Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua kerana mendakwa insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai "sandiwara dan konspirasi terancang kerajaan UMNO".
Laporan tersebut dibuat oleh ketuanya Anuar Safian di Balai Polis Kubang Kerian pada pukul 3.30 petang hari ini. Anuar berkata, dakwaan Tian Chua itu berniat jahat untuk menjatuhkan imej Umno dengan meracuni fikiran rakyat supaya membenci kerajaan pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum.
Di SHAH ALAM, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat laporan media asing bahawa seorang pemimpin pembangkang di negara ini mempunyai kaitan dengan isu pencerobohan di Sabah.
Lima NGO tersebut ialah Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Jaringan Cina Malaysia, Tolak
Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Kelab Perpaduan Insan Selangor dan Persatuan Kompang Ezhar Seksyen 6 Shah Alam.
Sebelum ini, artikel berita Reuters memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata, penceroboh datang atas jemputan seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.
Akhbar The Manila Times dilaporkan mendakwa pencerobohan itu mempunyai kaitan dengan kempen pembangkang Malaysia untuk memberi autonomi kepada Sabah jika mereka menang dalam pilihan raya umum. - BERNAMA(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 2358 hrs on March 04,2013.

No comments:
Post a Comment