LAHAD DATU 14 Mac - Pengganas Sulu yang menceroboh masuk ke Kampung Tanduo di sini, dipercayai telah melakukan perancangan rapi dan sebenarnya merancang untuk melakukan serangan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Menurut sumber, penceroboh yang turut didalangi penduduk tempatan itu mahu mengambil kesempatan daripada proses pilihan raya berkenaan bagi menjadikan negara kucar-kacir.
"Namun kita bersyukur kehadiran mereka telah dapat dikesan lebih awal dan usaha menghapuskan mereka telah dilakukan.
"Jika kita tidak dapat mengesannya, mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk dan jumlah mereka yang datang semakin bertambah," katanya di sini hari ini.
Tambah sumber itu, kemasukan pengganas berkenaan telah dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengaburi pihak keselamatan.
Dalam pada itu, Penganalisis Politik dan Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman berkata, sekiranya serangan pengganas itu dilakukan semasa Parlimen dibubarkan, mungkin akan memberi kesan yang lebih buruk.
Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan keadaan huru-hara dan negara berada dalam keadaan yang tidak menentu seterusnya menyebabkan darurat.
"Kalau berlaku demikian, orang ramai akan berasa takut untuk keluar mengundi dan boleh menyebabkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Sabah terpaksa ditangguhkan.
Ini kerana syarat untuk mengadakan pilihan raya ialah semasa orang ramai berasa aman dan tidak dalam ketakutan," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tegas beliau, sekiranya serangan dilakukan semasa PRU-13, tiada mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pun pembangkang akan mendapat kelebihan.
"Dalam keadaan huru-hara, keseluruhan negara akan rugi dan tiada gunanya kuasa yang ada pada mana-mana pihak," ujarnya.(Utusna online-berita utama).Posted by abnmulya at 1909 hrs on March 15,2013.

No comments:
Post a Comment