Monday, March 4, 2013

PKR Gagal selesai masalah rakyat

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

NOH Omar (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia bagi kawasan Parlimen Tanjong Karang, di Dewan Sungai Merab, Kuala Selangor, semalam. 

KUALA SELANGOR 3 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dilihat tidak peka dan lembap dalam menangani masalah rakyat apabila hanya menyelesaikan 52 atau 19.3 peratus daripada 269 aduan yang diajukan sepanjang Oktober hingga Disember tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, perkara itu terbukti berdasarkan statistik aduan mengikut negeri-negeri yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikeluarkan baru-baru ini.

"Berdasarkan statistik tersebut, Selangor merupakan negeri yang paling banyak menerima aduan iaitu 269 kes dan paling sedikit mengambil tindakan iaitu hanya 19.3 peratus.

"Keadaan itu berbeza di tiga negeri yang juga banyak menerima aduan iaitu Johor, Sabah dan Perak masing-masing 161 kes, 127 kes dan 104 kes tetapi sebahagian besar atau hampir semua kes tersebut dapat diselesaikan.

"Johor menyelesaikan 118 kes atau 73.3 peratus, Sabah pula 126 kes atau 99.2 peratus dan Perak 92 kes atau 88.5 peratus," katanya selepas menyaksikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada 800 daripada 4,000 golongan muda di Parlimen Tanjong Karang di Dewan Sungai Merab di sini hari ini.

Statistik aduan yang diterima oleh BPA itu turut menunjukkan Negeri Sembilan menerima 65 aduan dan menyelesaikan 52 kes atau 88.5 peratus manakala Pahang menerima 65 aduan (selesai 61 kes atau 93.8 peratus) dan Sarawak mendapat 57 aduan (selesai 54 kes atau 94.7 peratus).

Melaka pula menerima 45 aduan (selesai 34 kes atau 75.6 peratus), Kedah menerima 43 aduan (selesai 30 kes atau 69.8 peratus) dan Terengganu mendapat 40 aduan (selesai 34 kes atau 85 peratus).

Pulau Pinang pula menerima 26 kes (selesai 25 kes atau 96.2 peratus), Kelantan mendapat 22 kes (selesai 16 kes atau 72.7 peratus) dan Perlis memperoleh 13 kes (selesai 12 kes atau 92.3 peratus).

Noh seterusnya memberitahu, berdasarkan statistik BPA JPM, Kerajaan Pusat telah menyalurkan RM14.6 juta kepada 29,228 ketuai isi rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir untuk Disember tahun lalu hingga 18 Februari ini.

Kata beliau, KIR di Selangor merupakan penerima terbanyak iaitu 11,703 dengan peruntukan tertinggi iaitu RM5.5 juta. "Ini membuktikan yang Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan rakyat di Selangor dan memberikan bantuan yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik," jelasnya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 1734 hrs on March 04,2013.

No comments: