Sunday, March 24, 2013

ROS digesa tidak berlembut terhadap DAP

KUALA LUMPUR 23 Mac - Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa tidak lagi menggunakan pendekatan berlembut terhadap DAP, sebaliknya mengambil tindakan tegas ekoran kegagalan pemimpinnya memberi kerjasama dalam siasatan berhubung kesilapan yang berlaku ketika pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menegaskan, ROS perlu adil bertindak mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, DAP tidak boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan pendaftaran jika didapati melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

"Perkara ini bukan luar biasa. Kita pernah menyaksikan UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan tidak sah kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

 "Jika UMNO boleh diharamkan atas dasar kesilapan teknikal, mengapa tidak DAP? Kenapa kita mesti takut dengan DAP," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman semalam, berhubung kesukaran dihadapi ROS untuk menyelesaikan siasatan berikutan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi DAP.

Abdul Rahman memberitahu, pihaknya telah menghantar notis memanggil seorang pemimpin tertinggi DAP ke pejabat ROS untuk memberi keterangan bagaimanapun beliau memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 2400 hrs on March 24,2013.

No comments: