Thursday, May 30, 2013

"Tuhan Harun" Didakwa Menerima Deposit Haram RM40 Juta



KOTA BHARU 29 Mei - Selepas didakwa menyebarkan ajaran sesat dan mengaku sebagai tuhan, hari ini Harun Mat Saad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menerima deposit secara haram sebanyak RM40 juta daripada beberapa buah syarikat dan orang ramai.

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' itu didakwa membantu dalam pengurusan dua syarikat untuk menerima deposit bermula dari September 2006 sehingga Mac 2008.

Harun, 47, yang bertindak sebagai penasihat syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., dan Pan Pheonix Dina Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Yusuff Yunus.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah membantu dalam pengurusan Bussiness Time Dina menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa memegang suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1986 (Akta 372) di antara 4 Januari dan 20 Mac 2008 di Wisma Harun Mat Saat di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah membantu Pan Pheonix Dina Sdn. Bhd., untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1986 (Akta 372) di antara 13 September 2006 dan 7 Jun 2007 di Tingkat Satu, PT 1209, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini.

Dia dituduh di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) dibaca bersama Seksyen 106(1) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Mohd. Shukri Ahmad Mansor dan Alvin Ong Heng Kiat manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tiada jaminan dikenakan ke atas tertuduh kerana dia pernah melarikan diri sebelum ini dan tidak hadir ke mahkamah.

Yusuff menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes. Pada 24 April lalu, Harun didakwa di Mahkamah Syariah Kuantan atas 11 pertuduhan termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai Tuhan.(Utusan online-mahkamah).Posted by abnmulya at 2328 hrs on Mei 30,2013.

No comments: