Friday, July 26, 2013

ANTARA KERJAYA,KEKASIH,ANAK

 Oleh GARRET DAWUM garret.dawum
@utusan.com.my Gambar WAHIDAH ZAINAL &
 ASREY NOORKUZAIREY SALIM

ANGGAP gosip yang mendakwa dia mengongkong Zain sebagai perkara remeh. MANIS dan ayu sungguh pelakon cantik Rozita Che Wan bertudung di bulan Ramadan ini. Mana tidak cair si kekasih hati, Zain Saidin.

Katanya, bertudung memang menjadi imej dan penampilan sebagai tanda hormat setiap kali menjelang bulan puasa. Hai, bulan puasa je? Bulan lain?

"Saya belum bersedia lagi untuk berhijab. Mungkin suatu hari nanti. Dah terbuka hati. Siapa tahu kan," jawapan yang sangat jujur dan ikhlas diberikan kepada Hits ketika ditanya mengenai niat untuk memakai tudung.

Tidak mahu cerita panjang lebar, Hits terus mengajukan soalan tentang persiapan perkahwinannya.

Walaupun di bulan Ramadan, soalan itu tetap utama. Yelah, mesti ramai peminat yang ingin tahu apa yang mereka sudah lakukan untuk majlis yang bakal diadakan pada penghujung tahun ini.

Tidak sabar rasanya melihat Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta berada di atas pelamin bersama kekasih hati yang muda, Zain Saidin, 29.

Dikhabarkan baru-baru ini Che Ta, 42, menjelaskan bahawa sudah ada beberapa penaja yang sudi membantu majlis pernikahannya yang merangkumi tajaan pakaian, lokasi, makanan dan sebagainya.

Kali ini lain pula cerita yang timbul. Rupa-rupanya, menurut Che Ta, pakej bulan madu mereka juga sudah siap disediakan. Wah, memang gembiralah empunya badan.

Mana tidaknya, tarikh belum ditetapkan lagi, sudah banyak pula tajaan yang Che Ta dapat.

"Memang sudah ada pakej bulan madu itu. Cuma tidak tentukan tempat lagi. Lokasi itu nanti akan saya tentukan bersama dengan Zain. Biar ia bersesuaian dengan citarasa kami berdua.

"Saya memang cukup bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang ingin memberi tajaan dalam majlis pernikahan saya nanti.

"Tidak sangka dan rasa sangat bertuah dengan tajaan tersebut tetapi saya juga tidak akan bergantung semata-mata kepada tajaan itu. Saya dan Zain sama-sama membuat persiapan.

"Kalau di belah saya, saya sediakan untuk majlis sebelah saya. Begitu juga dia (Zain). Kami sama-sama sudah bersedia.

"Saya sebenarnya tidak kisah jika majlis kami tidak dibuat secara besar-besaran, asalkan majlis berlangsung dengan penuh meriah dan berjalan dengan lancar," kata Che Ta yang tidak merahsiakan persiapan majlis perkahwinan kedua buat dirinya.

Akui Che Ta, dia tidak memilih untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya kerana sudah lama kenal antara satu sama lain.

"Bagi saya, bertunang adalah satu tempoh atau proses untuk mengenali pasangan kita dengan lebih dekat. Kami dah kenal lama, jadi saya rasa kami tak perlu bertunang.

"Saya bakal berkahwin dengan lelaki bujang dan ini merupakan perkahwinan pertama buat Zain. "Jadi, mungkin kami akan adakan sebuah majlis yang istimewa untuk dijadikan memori indah buat kami berdua," ujar Che Ta dengan ukiran senyuman manis.

Ditanya mengenai sifat Zain terhadap anak-anak, Che Ta juga mengaku Zain sangat rapat dengan dua orang anak terunanya, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.

"Tidak saya nafikan, Zain memang sangat rapat dengan Ammar dan Aniq. Mereka juga saya lihat sudah seperti kawan baik. Sebab itu mereka sangat mesra. SENTIASA melihat perkembangan pembelajaran anak-anak dan pantau jadual belajar mereka.

"Sifat yang saya suka apabila dia (Zain) bersama anak-anak ialah dia menjadi pendengar yang setia. Setiap masalah yang anak-anak saya luahkan, Zain dengar dan cuba selesaikan. Zain sangat memahami," katanya yang turut mengaku Zain bukan lelaki yang panas baran.

Walaupun Zain tidak panas baran, tapi dengarnya baru-baru ini Che Ta dikatakan telah merajuk dengan buah hatinya itu gara-gara jadual Zain yang semakin sibuk.

Ini menyebabkan mereka jarang bertemu. Adoi, satu hal pula yang berlaku. Merajuk Che Ta itu membuatkan dia dilabel sebagi queen control.

Tidak kawal Zain Tidak mahu banyak lagi perkara negatif berlaku, Che Ta menepis dakwaan itu kononnya dia mengawal pergerakan Zain dengan mengganggu ketika aktor itu berada di lokasi penggambaran.

Antara gangguan Che Ta terhadap Zain ialah sering membuat panggilan telefon dan menghantar SMS. 

Katanya, perkara itu adalah fitnah semata-mata dan menyifatkannya sebagai karut kerana dia dan Zain tidak pernah mencampur-adukkan soal peribadi dan kerjaya dalam hubungan cinta mereka.

"Mengarut sahaja cerita yang dikeluarkan itu dan tiada asas langsung. Kami sangat profesional dengan kerjaya kami.

"Tidak wujud istilah saya mengongkong atau mengganggu ketika dia sedang bekerja," ujarnya ringkas dengan nada tidak berpuas hati. Di mana entah timbul dan tersebarnya gosip itu pun Che Ta tidak ketahui, malah dia secara terus-terang mengakui tidak akan melayan perkara remeh seperti gosip tersebut.

"Saya dan Zain sibuk dengan pelbagai perkara. Buat apa hendak layan. Saya tidak pasti, sama ada cerita ini sengaja disebarkan dengan tujuan memburukkan saya. Atau mungkin ada pihak yang cemburu melihat hubungan kami?

"Apa-apa pun, kami percaya sesama sendiri. Buat apalah hendak call atau SMS dia selalu. Saya faham kerja dia. Dia pun faham kerja saya.

"Itu hanya salah faham kerana saya sebenarnya sangat mengambil berat tentang Zain. Penyebar fitnah atau sumber itu sepatutnya sebar sesuatu biar ada kesahihan. Jangan bertindak melulu," katanya yang juga sedang sibuk dengan produk terbaru Safi setelah tiga tahun menjadi duta.

Menjadi duta produk bagi Che Ta memang bukan sesuatu tugas yang mudah dan ringan untuk dipikul. 

"Banyak tanggungjawab yang perlu kita galas. Ikut promosi itu inilah. Sebab itu, saya kena bijak mengurus jadual antara berlakon, duta produk dan lain-lain," katanya yang mempunyai kulit wajah yang sangat lembut dan kelihatan jauh lebih muda, walaupun sudah berusia.(UTUSAN ONLINE-HIBURAN).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 1858 hrs on July 26,2013

No comments: